Anda di sini

Semua taska, tadika dibenarkan beroperasi mulai 17 Mei

Advertisement
Fatimah
Fatimah

KUCHING: Semua taska dan tadika di Sarawak dibenarkan beroperasi mulai 17 Mei 2021 dengan memastikan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat sebelum, semasa dan selepas anak-anak hadir ke taska dan tadika.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata keputusan itu dibuat setelah merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"Setakat 11 Mei, pihak Kementerian telah menerima 102 permohonan daripada tadika swasta untuk beroperasi melibatkan 286 orang anak-anak yang ibu bapanya merupakan petugas barisan hadapan dan 1,022 orang lagi merupakan anak-anak yang ibu bapanya berkhidmat dalam sektor perkhidmatan perlu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kebenaran untuk beroperasi tersebut juga melibatkan 96 buah Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) SEDIDIK dengan 251 orang anak-anak yang ibu bapanya merupakan petugas barisan hadapan dengan 701 orang lagi anak-anak yang ibu bapanya bekerja dalam sektor perkhidmatan perlu.

Sebanyak 1,087 buah IPAKK KEMAS dengan 1,474 orang anak-anak petugas barisan hadapan dan 2,228 orang anak-anak pekerja sektor perkhidmatan perlu.

Sementara, IPAKK PERPADUAN sebanyak 176 buah, dengan 155 orang anak-anak petugas barisan hadapan dan 1,141 orang anak-anak pekerja sektor perkhidmatan perlu.

"Dalam tempoh sukar mendepani cabaran Pandemik COVID-19, keputusan ini akan memberi nafas lega kepada ibu bapa yang perlu bekerja selain memastikan anak-anak tidak tercicir daripada mengikuti sesi pembelajaran di taska dan tadika.

Setakat ini terdapat 234 buah taska dan 2,795 buah tadika yang telah berdaftar di Sarawak. 

Fatimah bagaimanapun menegaskan bahawa bagi tujuan rekod dan pemantauan, semua pengusaha IPAKK perlu memaklumkan kepada pihak Kementerian melalui Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak tentang pengoperasian IPAKK masing-masing melalui pautan berikut http://bit.ly/maklumatipakk

Malahan sebelum ini ujar beliau, Perdana Menteri juga turut mengumumkan bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa dari 12 Mei 2021 sehingga 6 Jun 2021, Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

  • oleh
  • Advertisement