Anda di sini

Neymar lanjutkan kontrak, PSG diikat 1-1 di Rennes

Advertisement
 Neymar menjaringkan gol pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Stade Rennais Football Club dan Paris Saint-Germain di stadium Roazhon di Rennes, kelmarin. — Gambar AFP
BERGAYA: Neymar menjaringkan gol pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Stade Rennais Football Club dan Paris Saint-Germain di stadium Roazhon di Rennes, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Neymar menjaringkan gol selepas menandatangani kontrak lanjutan tetapi Paris Saint Germain (PSG) diikat 1-1 di Rennes pada Ahad, sekali gus memberikan peluang lebih cerah kepada Lille untuk memenangi kejuaraan Ligue 1 Perancis.

PSG mendahului kedudukan pada masa rehat apabila Neymar menyempurnakan penalti kontroversi tetapi Serhou Guirassy menjaringkan gol penyamaan dalam separuh masa kedua.

Presnel Kimpembe dibuang padang selepas itu untuk PSG, yang gagal kembali meraih kemenangan dalam liga domestik sejak tersingkir di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara oleh Manchester City.

PSG kini kurang tiga mata di belakang pendahulu liga, Lille, yang  tahu mereka akan menjadi juara liga buat kali pertama sejak 2011 dengan memenangi empat mata dari baki dua perlawanan musim ini.

PSG sudah memenangi kejuaraan Ligue 1 pada tujuh dari lapan tahun terakhir tetapi mereka kelihatan kurang menyerlah musim ini dan keputusan menggantikan jurulatih Thomas Tuchel dengan Mauricio Pochettino pada pertengahan musim kelihatan satu keputusan yang memberi kesan yang tidak diingini.

“Kami harus terus percaya sehingga ke akhirnya, kami tidak hilang keyakinan tetapi di PSG, kami perlu melakukan yang lebih bagus lagi,” kata kapten PSG, Marquinhos.

“Lille adalah pasukan yang sangat bagus dan memenangi setiap perlawanan. Kami mempunyai baki dua perlawanan dan kami perlu percaya, mengekalkan fokus dan bermain lebih bagus lagi.”

Lille membuka kelebihan empat mata di singgahsana liga apabila menewaskan Lens 3-0 pada Jumaat lepas.

Ia kelihatan PSG mampu memberikan respons walaupun bermain tanpa Kylian Mbappe yang digantung perlawanan dan Marco Verratti yang mengalami kecederaan.

Mereka dihadiahkan peluang pada minit akhir sebelum rehat apabila pengadil perlawanan memberikan penalti selepas menyemak semula rakaman insiden di mana pemain pertahanan Rennes, Nayef Aguerd cuba menghadang rembatan Layvin Kurzawa.

Neymar meraikan pengumuman melanjutkan kontrak di PSG sehingga 2025 dengan menyempurnakan penalti.

Bagaimanapun, Rennes, yang memburu kelayakan ke Liga Europa musim hadapan, memperolehi gol penyamaan ketika berbaki 20 minit permainan apabila Guirassy menanduk tendangan sudut Benjamin Bourigeaud.

Dua perlawanan terakhir PSG ialah menentang Reims di tempat sendiri dan bertandang ke kelab tercorot, Brest sementara Lille akan menentang Saint Etienne di tempat sendiri sebelum bertandang ke Angers.

Pada perlawanan awal, gol senior pertama untuk pemain muda, Eliot Matazo membantu Monaco menang 1-0 di Reims, sekali gus mengekalkan impian Monaco untuk menamatkan musim di tiga tangga teratas liga dan layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Matazo, yang tiba dari Anderlecht pada usia 16 tahun pada 2018, menjaringkan gol pada minit ke-20 sebelum Monaco bertahan untuk kembali meraih kemenangan selepas tewas kepada Lyon minggu lepas.

Monaco tewas 2-3 kepada Lyon dan dipintas di tangga ketiga namun mereka berjaya kembali ke tangga ketiga pada Ahad selepas Lyon tewas 1-4 kepada Lorient pada perlawanan hari Sabtu.

Monaco juga lima mata di belakang Lille dan dua mata di belakang PSG dengan hanya tiga pasukan teratas liga layak ke Liga Juara-Juara dan dua teratas layak secara automatik ke pusingan pertama sementara pasukan di tangga ketiga bermain pada pusingan ketiga kelayakan.

Pasukan di tangga keempat layak ke Liga Europa dengan pasukan di tangga kelima akan beraksi pada kejohanan baharu Liga Conference Europa.

Marseille kekal di tangga kelima, di hadapan Lens dengan perbezaan gol walaupun tewas 0-1 di Saint Etienne sementara Rennes kurang satu mata di belakang mereka di tangga ketujuh. — AFP

Advertisement