Anda di sini

Penganggur dituduh edar 2.96 kilogram ganja

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar ganja seberat 2.96 kilogram. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada Samuel Max Sigar Tabad, 32, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama. 

Sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung sampai mati. 

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa mengedar sejumlah 2.96 kilogram dadah jenis ganja di kaki lima berhampiran Green Hill Corner di sini, pada 23 Disember 2020, jam lebih kurang 5 petang. 

Sebaik pertuduhan dibacakan, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi memandangkan laporan kimia telah siap. 

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh untuk ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu sebutan kes pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Tertuduh diwakili peguam, Roger Chin.

  • oleh
  • Advertisement