Anda di sini

Indonesia kesan varian COVID-19 India dan Afrika Selatan

Advertisement
 

JAKARTA: Varian COVID-19 India dan varian B1351 Afrika Selatan kini dikesan di Indonesia.

Terdapat dua kes di Jakarta melibatkan varian yang pertama kali dikesan di India sementara satu kes melibatkan varian Afrika Selatan dilaporkan di Bali, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

"Kita mesti mengekang penularan virus. Virus ini mudah  berjangkit dengan cepat,” katanya semasa sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan pada Rabu.

Setakat ini, Indonesia juga telah mengesan 13 kes varian B117 dari United Kingdom (UK).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenal pasti B117 dan B1351 sebagai varian yang membimbangkan. Varian India, dikenali B1617, menjadi perhatian memandangkan negara ini sedang diancam lonjakan kes tertinggi dunia.

Dalam perkembangan lain, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di India sudah mencecah 20.28 juta selepas mencatat lebih 357,229 jangkitan baharu setakat Rabu, menurut Kementerian Kesihatan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sementara itu, seramai 3,449 lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini sebanyak 222,408.

Sejak Sabtu terdapat sedikit penurunan selepas mencatat jumlah jangkitan tertinggi iaitu 400,000 kes. Negara ini mencatatkan 392,488 kes pada Ahad dan  368,147 kes pada Isnin. 

India yang bergelut dengan peningkatan kes menyebabkan sistem kesihatan negara lumpuh menyaksikan hospital kekurangan katil, bekalan oksigen dan ubat-ubatan. Banyak negara tampil membantu dengan menghantar bekalan perubatan.

Kebanyakan pesakit dilaporkan meninggal dunia akibat hospital tidak lagi berupaya menyediakan bantuan peralatan oksigen. 

India minggu lalu memulakan kempen vaksinasi kepada penduduk berumur 18 tahun ke atas namun, usaha ini berdepan kesukaran kerana terdapat beberapa negeri menghadapi kekurangan bekalan vaksin.

Menurut data, setakat ini sebanyak 158 juta dos vaksin sudah diberikan. - BERNAMA

Advertisement