Anda di sini

Lari dari hospital, lelaki positif COVID-19 didenda 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda yang disahkan positif COVID-19 pada 12 Mac lalu didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah melarikan diri daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) semasa menjalani pengasingan dan menerima rawatan.

Majistret Zaiton Anuar juga memerintahkan tertuduh, Mohd Azrul Azmi Rahduan, 22, untuk dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki bekerja sendiri itu didakwa telah melarikan diri dari wad kuarantin dan sedia maklum bahawa ia berkemungkinan akan menyebarkan wabak COVID-19 kepada orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 13 Mac lalu, jam lebih kurang 1.30 petang di wad pengasingan penyakit berjangkit di tingkat pertama HUS, di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh didapati positif COVID-19 setelah menjalani ujian swab pada 12 Mac lalu di Klinik Jalan Masjid dan seterusnya ditempatkan di sebuah wad.

Tertuduh bagaimanapun berpura-pura ke tandas pada hari kejadian dan melarikan diri melalui tingkap kecil di dalam tandas tersebut. 

Hasil siasatan mendapati, isteri tertuduh menjumpai tertuduh di tepi jalan menghala ke rumah mereka terletak di Kampung Gita Laut, di sini.

Isteri tertuduh juga menyatakan bahawa tertuduh melarikan diri kerana rindukan anaknya. 

Difahamkan, tertuduh menyerahkan diri kepada polis setelah dipujuk oleh isterinya. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.

  • oleh
  • Advertisement