Anda di sini

Polis nafi tujuh peserta demonstrasi jalanan bebas sepenuhnya

Advertisement
 Peserta demonstrasi bersama peguam (dua kanan) ketika dibebaskan dengan ikat jamin polis. 
IKAT JAMIN: Peserta demonstrasi bersama peguam (dua kanan) ketika dibebaskan dengan ikat jamin polis. 

TAWAU: Polis menafikan dakwaan segelintir pihak di media sosial yang mendakwa tujuh peserta demonstrasi jalanan di Kampung Muhibbah Raya, Sabtu lalu dibebaskan sepenuhnya.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, banyak maklumat tidak tepat mengenai kes ini yang ditularkan dalam media sosial.

"Saya tidak mahu orang ramai beranggapan apa yang mereka lakukan (demonstrasi) adalah betul dan perkara itu boleh dilakukan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di IPD Tawau, di sini.

Menurutnya, semua tujuh peserta demonstrasi jalanan berumur 26 hingga 31 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis sekitar jam 3 petang pada Isnin.

"Setakat ini, masih kekal dengan tiga kesalahan dan pendakwaan akan dibuat sebaik sahaja siasatan lengkap diperoleh.

"Semua yang mereka lakukan itu tetap satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan perundangan," katanya.

Peter berkata, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat yang kurang tepat bagi mengelakkan pemahaman salah kepada orang lain.

Terdahulu, Utusan Borneo melaporkan tujuh peserta demonstrasi jalanan itu bakal berdepan kompaun RM10,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, mereka juga turut disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kesalahan berhimpun tanpa permit.

  • oleh
  • Advertisement