Anda di sini

Gabungan Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan Kadazan Dusun setuju sistem barter trade beroperasi semula di Labuan

Advertisement
 Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Harris, Paul, Wong dan Dahlif
BINCANG: Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Harris, Paul, Wong dan Dahlif

KOTA KINABALU: Gabungan Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan Kadazan Dusun bersetuju menyokong agar aktiviti operasi barter trade dikembalikan semula di Wilayah Persekutuan Labuan selaras dengan hasrat kerajaan Negeri.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh gabungan berkenaan semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia W.P. Labuan Datuk Harris Annuar Tan, Pengerusi Dewan Perniagaan Kadazan Dusun W.P. Labuan Paul Ipoh Leokin, Presiden Dewan Perniagaan Cina W.P.  Labuan Datuk Wong Kii Yii, dan Pengerusi Dewan Perniagaan India W.P. Labuan Datuk Dahlif @Dara Singh menjelaskan aktiviti barter trade berkenaan sudah pun dimulakan di Sandakan.

"Sejajar dengan ketidak tentuan ekonomi semasa, maka aktiviti sedemikian akan dapat meransang ekonomi untuk peniaga dan penduduk Labuan khususnya ahli-ahli dari Gabungan Dewan Perniagaan Labuan.

"Dengan kembalinya barter trade ke Labuan, ahli-ahli dari Gabungan Dewan Perniagaan dan komuniti peniaga dapat terlibat aktif semula dalam perniagaan ini," katanya.

Mereka menjelaskan, pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan boleh diwujudkan dari sistem berkenaan. Secara tidak langsung ia juga akan menarik pelaburan dari negara jiran di rantau Asia Pasifik.

Menurutnya, memandangkan kedudukan Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa. Terdapat keutamaan dari segi kewangan dan insentif yang boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya.

"Mengimbas kembali, Labuan ini adalah salah satu pusat strategik dan terkenal untuk aktiviti barter trade dan transhipment sejak dulu lagi. Ketika itu, Labuan Chamber of Commerce telah memainkan peranan yang penting dalam menjayakan aktiviti perniagaan ini di Labuan.

"Untuk menaik taraf aktiviti bater trade, adalah dicadangkan agar satu kawasan khas atau Hub Barter Trade dikenal pasti dan dibangunkan," katanya.

Jelas mereka, hub berkenaan dapat memudahkan aktiviti transhipment yang dapat dikawal dengan baiknya dan memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan.

Sehubungan dengan itu, suasana itu dapat mendorong syarikat tempatan untuk mengatur langkah secara global dalam masa yang sama dapat menubuhkan lebih banyak kolaborasi antara syarikat dan seterusnya menarik pelaburan ke Labuan. 

Gabungan Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan Kadazan Dusun sedia memberikan bekerjasama dengan pihak kerajaan, pengusaha perkhidmatan pelabuhan dan agensi-agensi yang berkaitan demi menjayakan aktiviti barter trade dan seterusnya membawa tahap aktiviti ini ke satu tahap yang lebih tinggi. 

Dengan adanya kemudahan infrastruktur di Pelabuhan Labuan, maka aktiviti transhipment (barter trade) ini dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna dan teratur mengikut piawaian dan SOP yang disediakan oleh Megah Port Management Sdn. Bhd. yang mengendalikan perkhidmatan pelabuhan dengan sistem integrasi logistik teratur serta kemas kini.

"Adalah menjadi harapan Gabungan Dewan Perniagaan agar kementerian-kementerian yang berkaitan dapat mempertimbangkan dan seterusnya meluluskan semula aktiviti perkhidmatan barter trade di Wilayah Persekutuan Labuan ini," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement