Anda di sini

Demi rakyat, legasi PBS diteruskan di Kuala Penyu

Advertisement
 Joachim (empat kiri) pada majlis penutupan AGM PBS DUN Kuala Penyu.
AGM: Joachim (empat kiri) pada majlis penutupan AGM PBS DUN Kuala Penyu.

KUALA PENYU: Legasi perjuangan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan diteruskan demi memperjuangkan dan memperkasakan khidmat kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Naib Presiden PBS Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, semua ahli PBS DUN Kuala Penyu perlu terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada ahli parti dan masyarakat setempat.

Menurutnya, PBS adalah parti yang tertua di Sabah dan masih aktif. Justeru, perjuangan PBS adalah satu perjuangan yang murni yang tidak mengira bangsa dan agama.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar ahli PBS Kuala Penyu terus menyokong dan membantu wakil kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kita akan terus menyahut seruan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili untuk mempraktikkan amalan dalam kehidupan ahli semangat kekitaan, kecekalan, sabar dan setia serta bersatu.

"Ahli PBS Kuala Penyu tidak seharusnya lemah semangat walaupun menghadapi cabaran sebaliknya menjadikan cabaran yang dihadapi sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS DUN Kuala Penyu Kali Ke-35 di sini semalam.

Katanya, PBS akan terus menyokong kerajaan GRS demi kestabilan politik dan pembangunan infrastruktur serta ekonomi yang lebih rancak di negeri ini.

"Inilah masanya kita menunjukkan sokongan kita kepada wakil rakyat di sini dan kita berharap agar PBS akan terus bersinar dan dapat menyampaikan wadah parti.

"Kita juga mahukan pembangunan yang lebih banyak lagi di negeri Sabah khususnya di Kuala Penyu seperti mana pembangunan di negeri lain dalam Malaysia," jelasnya.

Beliau berkata, PBS DUN Kuala Penyu akan terus mara ke hadapan seiring dengan parti-parti sekutu yang lain demi mempertahankan hak rakyat Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury.
 

  • oleh
  • Advertisement