Anda di sini

DBKK tutup premis GC House

Advertisement
 Notis penutupan oleh pihak berkuasa tempatan dikeluarkan untuk menghentikan operasi GC House
TUTUP: Notis penutupan oleh pihak berkuasa tempatan dikeluarkan untuk menghentikan operasi GC House

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berdasarkan satu perintah mahkamah telah menutup premis GC House.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan DBKK hari ini, pada 16 April 2021 (Jumaat) yang lalu, Operasi Bersepadu yang pertama telah dilaksanakan oleh DBKK , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM).

Operasi ini diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK Robert Lipon bersama seramai 69 orang anggota.

Semasa operasi itu, pihak DBKK telah menyita barangan dan peralatan premis berkenaan dan mengeluarkan enam kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 2005, Undang-undang Kecil Premis Makanan 1966, Undang-undang Kecil Bangunan 1967, dan Tiga kompaun di bawah Ordinan Hiburan Awam 1958.

Manakala, Operasi Bersepadu kali kedua pula telah dijalankan pada 21 April 2021 (Rabu) yang disertai oleh jabatan dan agensi yang sama dengan melibatkan seramai 56 anggota.

Tujuan operasi dilaksanakan adalah kerana premis tersebut masih menjalankan perniagaan tanpa lesen. Pihak DBKK telah mengambil tindakan menyita barangan di premis berkenaan.

Susulan daripada Operasi-Operasi Bersepadu berkenaan, DBKK telah memfailkan permohonan Perintah Penutupan Premis GC House kepada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu di bawah Seksyen 103A, Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 pada 23 April 2021 (Jumaat). 

Kes ini didengar di hadapan Majistret Puan Lovely Natasha Charles.

Kesalahan yang dilakukan oleh GC House adalah berniaga tanpa lesen dibawah Undang Undang Kecil Premis Makanan 1966, menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen di bawah Ordinan Hiburan 1958 dan membina struktur tanpa kelulusan di bawah Undang Undang Kecil  Bangunan 1951.

Sehubungan dengan itu, Mahkamah Majistret Kota Kinabalu telah mengeluarkan perintah melalui permohonan DBKK ke atas GC House di Damai, Kota Kinabalu untuk menutup premis mereka sehingga GC HOUSE memperoleh lesen perniagaan yang teratur.

Perintah mahkamah itu telah diserahkan pada 26 April 2021, jam 11.30 pagi bertempat di premis perniagaan GC House, Damai. 

Pemilik premis-premis perniagaan yang beroperasi di Bandaraya Kota Kinabalu diingatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh DBKK dan agensi Kerajaan berkaitan. 

Kegagalan mematuhi peraturan dan pelanggaran undang-undang ini akan menyebabkan pemilik premis dikenakan tindakan Undang Undang. 

Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak Kerajaan adalah bertujuan bagi memberi kesedaran kepada semua bahawa pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan undang-undang adalah untuk kesejahteraan, keselamatan serta menjaga kepentingan orang awam secara keseluruhan.
 

  • oleh
  • Advertisement