Anda di sini

PPM Sandakan tangkap 75 individu 

Advertisement
 Azhar (tengah) dan Ahmad (kanan) menunjukkan wang peso yang dirampas dari juragan berkenaan.
WANG: Azhar (tengah) dan Ahmad (kanan) menunjukkan wang peso yang dirampas dari juragan berkenaan.

- Disyaki menyeludup masuk ke perairan Sandakan

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan di sini berjaya menahan dua buah kapal yang disyaki cuba menyeludup masuk migran dan warga asing dari Pulau Tabawan Filipina ke Sandakan pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin, berkata penahanan dibuat antara jam 2.30 hingga 2.50 pagi semasa sepasukan anggota PPM Sandakan menjalankan tugas rondaan Ops Benteng Covid-19 di kawasan perairan laut Pulau Berhala Sandakan.

"Ketika itu, PPM Sandakan telah mengesan dua buah kapal bergerak secara beriringan dari arah laut lepas memasuki ke kawasan perairan Sandakan dalam keadaan mencurigakan.

"Kita kemudian menahan kedua-dua kapal tersebut dan telah menangkap dua orang juragan berusia 25 dan 55 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

"Mereka mengemudi kapal tersebut bersama 73 orang penumpang (migran) masing-masing kanak-kanak, lelaki dan wanita dewasa yang disyaki cuba menyeludup masuk ke Sandakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah, Balai Polis Bandar Sandakan.

Hadir sama, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Ariffin dan Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, DSP Rusdin Banin.

Katanya, selain merampas dua buah kapal, turut dirampas adalah wang tunai sebanyak 109,940 Peso Filipina dari kedua-dua juragan tersebut yang mana wang tunai itu dipercayai merupakan kos pengangkutan yang diperolehi dari penumpang tersebut. 

Jelasnya, setiap penumpang migran dipercayai dikenakan bayaran sebanyak 1,000 Peso kepada juragan tersebut. 

Kesemua tangkapan telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusan ujian mereka adalah negatif. 

Azhar berkata, mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 iaitu pemunya atau operator atau nakhoda kepada kapal yang dinaiki dalam pengangkutan migran yang menyeludup masuk ke daerah Sandakan. 

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali. 

Siasatan juga dijalankan ke atas dua orang juragan berusia 55 tahun berasal dari Pulau Tabawan Filipina dan lelaki berusia 25 tahun dari Batu 2 Sandakan itu yang mana mereka akan direman selama 28 hari.

Manakala siasatan terhadap 64 orang yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/53 juga akan dibuka kerana memasuki ke daerah Sandakan tanpa memiliki pas yang sah.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan sebatan tidak lebih dari enam sebatan.

Kesemua 64 orang termasuk dua orang juragan akan ditahan reman selama 14 hari.

Sementara selebihnya, 11 orang yang mempunyai dokumen sah tetapi memasuki Sandakan tanpa laluan yang sah atau diwartakan, siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 5(2) Akta imigresen 1969/53 kerana memasuki ke daerah Sandakan melalui tempat yang tidak dibenarkan atau tidak sah.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua 11 orang yang memiliki Mykad ini akan ditahan reman selama tujuh hari.

Dalam sidang media yang sama, Ahmad berkata sepanjang bulan Mac, PPM berjaya menahan dan mengusir lima kes kemasukan warga asing ke perairan Sandakan yang mana mereka ditahan jauh dari daratan dan diusir pulang setelah proses laporan dibuat.

Usaha itu juga bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

  • oleh
  • Advertisement