Anda di sini

Pertimbang pelbagai faktor, sebelum buat SJR, elak kesesakan lalu lintas

Advertisement
 Vivian turun padang meninjau SJR di kawasan Batu 5 yang telah menyebabkan kesesakan lalu lintas.
TINJAU: Vivian turun padang meninjau SJR di kawasan Batu 5 yang telah menyebabkan kesesakan lalu lintas.

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menyarankan agar pihak berkuasa mempertimbangkan pelbagai faktor seperti aliran lalu lintas dan keberkesanan pemeriksaan sebelum membuat sekatan jalan raya (SJR) bagi mengelak orang ramai gusar dan terpaksa mengambil masa yang panjang untuk melalui kawasan itu.

Beliau memahami pihak polis di sini telah membuat dua pemeriksaan jalan 24 jam di kawasan Batu 5 bermula 21 April lepas untuk memeriksa pergerakan orang ramai dan kenderaan serta mengawal aliran lalu lintas bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

Bagaimanapun, beliau berharap ada mekanisme terbaik dalam pelaksanaan SJR ini.

Sekatan jalan di kawasan itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas khasnya pada waktu puncak dan ketika hampir waktu berbuka puasa yang mana orang ramai terutama yang berpuasa terpaksa berbuka di kenderaan masing-masing selain penduduk berdekatan juga perlu menunggu lama untuk sampai ke perumahan mereka berbanding hari biasa.

Jelasnya, dengan pemeriksaan pihak polis dan pihak berkuasa yang sistematik, beliau yakin masalah itu akan bertambah baik.

"Saya berharap pihak berwajib dapat bersimpati dengan penduduk Sandakan dan menyelesaikan masalah ini dengan cara yang paling efektif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu selepas melakukan tinjauan di SJR Batu 5 Sandakan.

Untuk tujuan itu, dalam masa yang sama, Vivian meminta penduduk Sandakan untuk tidak keluar rumah sesuka hati, terus mematuhi SOP untuk pencegahan wabak COVID-19 serta tetap duduk di rumah jika tiada urusan penting diluar. 

"Beri kerjasama dan jangan timbulkan masalah kepada barisan hadapan yang bertugas. Kita perlu terus bekerjasama untuk mememerangi wabak ini," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan penguatkuasa yang tetap bertugas dengan penuh tanggungjawab termasuk mereka yang berpuasa dalam bulan Ramadan.

Dalam masa sama, beliau menyarankan agar pihak polis dapat membuat pemeriksaan jalan di kawasan yang terdapat lebih banyak kes COVID-19 yang telah disahkan pihak berkuasa selain usaha memastikan penduduk tempatan tidak keluar sesuka hati yang mana akan lebih berkesan dalam memutuskan penyebaran virus.

  • oleh
  • Advertisement