Anda di sini

Kunjungan hormat PAS ke Pejabat Kesihatan dan JHEAINS cadang masjid dibuka

Advertisement
 Sahar (kiri) membincangkan cadangan membuka semula aktiviti masjid dalam kunjungan hormat ke Pejabat Kesihatan Sandakan.
BINCANG: Sahar (kiri) membincangkan cadangan membuka semula aktiviti masjid dalam kunjungan hormat ke Pejabat Kesihatan Sandakan.

SANDAKAN: Susulan penutupan operasi masjid dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sandakan bermula 17 hingga 30 April, PAS telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kesihatan Sandakan kelmarin bagi membincangkan perkara tersebut.

Kunjungan hormat itu yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid di Pejabat Kesihatan Sandakan dekat sini telah mengemukakan beberapa justifikasi atas cadangan tersebut.

Katanya, PAS tampil bagi membawa suara hati umat Islam di daerah ini yang berhajat operasi masjid tidak dihentikan memandangkan kes di Sandakan tidak terlalu tinggi dan sudah menurun kepada satu digit mutakhir ini.

"Umat Islam sangat terkilan dengan penutupan ini memandangkan Ramadan baru disambut tidak sampai seminggu. Justeru kami hadir membawa aspirasi umat Islam," ujar Sahar yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan.

Jika dilihat, beliau berkata pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di masjid adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan lokasi-lokasi lain seperti pasaraya, kedai runcit dan pasar awam.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Sandakan juga menambah bahawa sekiranya masjid tidak boleh dibuka sepenuhnya, pihak berkuasa boleh mencadangkan agar ia dibuka dengan kapasiti tertentu contohnya 70% dari keluasan masjid.

Ketika menerima kunjungan tersebut, Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar memberikan respon yang positif terhadap cadangan yang disampaikan di samping memberi saranan tertentu agar usaha itu dapat direalisasikan.

Katanya, jika masjid dibenarkan beroperasi, pihak jawatankuasa masjid perlu memastikan semua SOP dipatuhi seperti wajib memakai pelitup muka, solat dalam keadaan jarak 1 meter, membawa sejadah sendiri dan lain-lain.

Dalam kesempatan berkenaan juga, Dr Johari telah memberikan penerangan berkaitan situasi kesihatan di daerah ini antaranya berkaitan wabak COVID-19, pendaftaran vaksin COVID-19, penyakit malaria dan lain-lain.

Terdahulu, PAS turut mengadakan kunjungan hormat bertemu dengan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Haji Romzi Rahman di Batu 7, Sandakan bagi mengusulkan perkara yang sama.

Haji Romzi dalam pertemuan itu telah menyambut baik usaha yang dibuat oleh PAS dan menyatakan pihaknya juga akan memainkan peranan yang sewajarnya agar usaha itu boleh direalisasikan.

Hadir sama dalam kedua-dua kunjungan hormat berkenaan ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain.

  • oleh
  • Advertisement