Anda di sini

Jangan anggap penutupan sekolah sebagai tempoh bercuti - KGBS

Advertisement
 

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) mengingatkan pelajar supaya tidak menganggap penutupan sekolah selama 14 hari di kawasan zon merah COVID-19 sebagai tempoh bercuti.

Presidennya, Ahmad Malie (gambar) berkata biarpun sekolah ditutup, sesi pembelajaran secara dalam talian masih dapat dilaksanakan.

"Peringatan ini perlu kerana kita (KGBS) khuatir pelajar akan mula menganggap penutupan sekolah sebagai masa lapang atau masa untuk berseronok.

"Apatah lagi dengan penutupan sekolah pada bulan Ramadan pastinya akan menyebabkan pelajar teruja untuk menyambut perayaan Hari Raya dan juga, Hari Gawai sehingga melupakan pembelajaran mereka,” katanya kepada Utusan Borneo menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung penutupan semua sekolah di zon merah COVID-19 di Sarawak selama dua minggu mulai 20 April 2021.

Sehubungan itu, Ahmad menggesa ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak mereka sepanjang tempoh penutupan sekolah ini agar tidak leka dan ketinggalan dalam pembelajaran masing-masing.

Beliau turut memohon kerjasama semua pihak terutama ibu bapa untuk menerima pengumuman ini dengan hati terbuka sebagai usaha menyokong langkah diambil oleh kerajaan bagi melandaikan lekuk kes jangkitan COVID-19 yang amat membimbangkan.

"Ini kerana menurut laporan baru-baru ini, terdapat kes jangkitan COVID-19 melibatkan guru dan juga, pelajar di sekolah-sekolah tertentu.

"Oleh itu, tindakan kerajaan untuk menutup operasi sekolah di zon merah adalah wajar sebagai langkah kawalan terhadap wabak ini," jelasnya.

Pada masa sama, ujarnya, KGBS turut menyarankan Kementerian Pendidikan untuk mencari kaedah pembelajaran alternatif bagi mengelakkan penutupan operasi persekolahan bersemuka sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19.

"Sudah tiba masanya KPM memikirkan resolusi alternatif selain mengambil langkah menutup operasi sekolah. Ini kerana KGBS juga memikirkan tentang perolehan pengetahuan dalam kalangan pelajar yang terkesan dengan penutupan ketika ini," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ahmad menggesa warga sekolah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita juga mengingatkan masyarakat supaya jangan alpa dengan SOP meskipun ada dalam kalangan guru yang sudah menerima suntikan vaksin. 

“Suntikan vaksin tidak menjamin kita boleh melalaikan amalan kita terhadap SOP yang ditetapkan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement