Anda di sini

SMK Seri Ampangan juara pertandingan ‘DIY Made Simple 2020 - Green School-Vertical Garden’

Advertisement
 Pelajar SMK Seri Ampangan mengambil bahagian secara dalam talian, sambil mentor mereka Dr Mahanim Hanid menerima anugerah tersebut bagi pihak mereka daripada Azlam Shah dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Malaya) Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Raman.
ANUGERAH: Pelajar SMK Seri Ampangan mengambil bahagian secara dalam talian, sambil mentor mereka Dr Mahanim Hanid menerima anugerah tersebut bagi pihak mereka daripada Azlam Shah dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Malaya) Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Raman.

KUCHING: Pelajar-pelajar dari SMK Seri Ampangan, Seremban dinobatkan sebagai juara pertandingan ‘DIY Made Simple 2020 - Green School-Vertical Garden’, anjuran bersama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (juga dikenali sebagai UMCares) dan syarikat peruncit perkakas rumah terkemuka, MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR D.I.Y).

Dianjurkan buat kali keempat, pertandingan tahunan ini memupuk pelajar-pelajar sekolah menengah untuk mencari solusi bagi membaik pulih sendiri fasiliti-fasiliti dalam sekolah mereka dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula.

Pasukan dari SMK Seri Ampangan yang dianggotai oleh 10 pelajar, membawa pulang hadiah tempat pertama bernilai RM4,500 bagi projek ‘Bidai Hijau’ mereka, manakala pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, Kajang seri di tempat kedua dengan hadiah bernilai RM3,000 setiap pasukan.

Selain daripada hadiah wang tunai, trofi dan sijil penyertaan, setiap pasukan pemenang turut menerima baucar MR.D.I.Y. bernilai RM1,500.

Pertandingan ini telah diadakan dalam dua fasa. Pada fasa pertama, yang diadakan pada Januari 2020, sejumlah 75 sekolah telah menghantar video penyertaan idea mereka. Juri-juri yang terdiri daripada wakil UMcares dan MR. D.I.Y, telah menyenarai pendek lapan pasukan untuk mara ke fasa kedua, di mana setiap pasukan dimentor oleh pensyarah-pensyarah dari Fakulti Alam Bina Universiti Malaya, bagi memastikan perjalanan transformasi idea mereka menjadi realiti.

AZLAM SHAH
AZLAM SHAH

Bercakap pada acara penyampaian hadiah yang berlangsung di Universiti Malaya, Pengerusi MR D.I.Y. Group Dato Azlam Shah Alias berkata: “MR D.I.Y. berpegang pada pembangunan komuniti melalui persekitaran di dalam rumah dan tempat kerja yang selesa dan meningkatkan daya kreativiti, pada harga yang berpatutan dan mampu milik, selaras dengan janji kami ‘Always Low Prices’.

“Kerjasama antara pihak kami dan UMCares selama empat tahun ini dalam memupuk daya kreativiti dan semangat para pelajar membaik pulih persekitaran melalui projek-projek DIY amat memuaskan hati.

“Pertandingan pada tahun ini yang bertemakan ‘Green School-Vertical Garden’ memerlukan para pelajar mengitar dan mengguna semula barang-barang lama menjadi baharu untuk fasiliti-fasiliti di taman sekolah mereka. Biarpun berjauhan secara fizikal dari sekolah pada setiap masa, saya tetap terpegun dengan idea-idea mereka serta kerjasama yang dipamerkan oleh kelapan-lapan sekolah. Mereka sangat memahami semangat DIY yang cuba diterapkan,” tambahnya lagi.

 ‘Bidai Hijau’ – Projek kemenangan SMK Sri Ampangan.
MENANG: ‘Bidai Hijau’ – Projek kemenangan SMK Sri Ampangan.

DIY Made Simple adalah sebuah pertandingan tahunan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan daya kreativiti dan pemikiran inovatif para pelajar di samping memupuk pembangunan kemahiran insaniah mereka seperti komunikasi, kerjasama berkumpulan dan kepimpinan.

Ketika acara pada Rabu minggu lepas, pihak penganjur juga telah mengumumkan 28 pasukan yang berjaya mara ke fasa dua untuk pertandingan ‘DIY Made Simple 2021-Green School Reimagining Plastic Waste For the 21st Century Classroom’, selepas berjaya menumpaskan 104 sekolah pada fasa pertama pertandingan.

Advertisement