Anda di sini

5My ringankan kos sara hidup rakyat 

Advertisement
 Annuar (tengah) menyantuni peniaga-peniaga di Meja Ikan Kampung Rancha-Rancha dalam memastikan manfaat Program Freshness MyGrocer@Wilayah diterima oleh rakyat. Turut kelihatan Bashir (kanan) dan Dr Fary (dua kiri).
SANTUNI: Annuar (tengah) menyantuni peniaga-peniaga di Meja Ikan Kampung Rancha-Rancha dalam memastikan manfaat Program Freshness MyGrocer@Wilayah diterima oleh rakyat. Turut kelihatan Bashir (kanan) dan Dr Fary (dua kiri).

LABUAN: Wilayah Persekutuan Labuan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta daripada Kementerian Kewangan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat (PEMERKASA).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, PEMERKASA lebih menumpukan kepada strategi pemulihan ekonomi yang mampan dan projek yang berfokuskan kesejahteraan rakyat seperti pembaikan infrastruktur awam dan menaik taraf kemudahan perumahan awam menjadi keutamaan.

Katanya, peruntukan RM10 juta ini hendaklah digunakan kepada usaha-usaha mempertingkatkan prasarana awam yang mudah dilaksanakan dan projek-projek yang boleh dilaksanakan oleh kontraktor kecil supaya mereka dapat memperbaiki perniagaan dan ekonomi mereka.

"Walaupun sebelum ini terdapat beberapa projek yang telah disenaraikan, pihak Perbadanan Labuan boleh berbincang dengan pemimpin tempatan seperti Ahli Dewan Negara dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk melihat semula senarai itu mengikut kesesuaian projek yang perlu disegerakan," katanya kepada pemberita di Wisma Perbadanan Labuan, kelmarin.

Annuar berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperkenalkan Program 5My bagi meringankan kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar termasuk di Labuan. 

Tambah beliau, program 5My terdiri daripada MyJob@Wilayah, MySchoolBus@WilayahMyGrocer@Wilayah, MyFood@Wilayah dan MyMedic@Wilayah yang bermatlamat membasmi kemiskinan bandar sekali gus menambah baik jaringan keselamatan sosial dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.

Sebelum itu beliau telah mengadakan program turun padang (TUPA) antaranya melawat Program Freshness MyGrocer@ Wilayah di Kampung Rancha-Rancha, meninjau salah satu tapak Geopark yang berusia antara 7 hingga 40 juta tahun di pantai Tanjung Batu.

Annuar juga meninjau Madrasah Tahfiz al-Quran Sri Merinding dan menyalurkan peruntukan RM150,000 bagi menaik taraf beberapa kemudahan madrasah termasuk membuat kerja-kerja baik pulih jalan simen laluan masuk ke madrasah dan kerja-kerja tambahan di bangunan asrama dan kelas madrasah.

Beliau turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada lapan keluarga mangsa bencana.

Turut mengiringi lawatan beliau ialah Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman. 

Advertisement