Anda di sini

Bekas pegawai eksekutif didakwa tipu pengurus syarikat RM41,000

Advertisement
 Tertuduh diiringi peguam memasuki bilik bicara di Mahkamah Khas Rasuah di sini.
TERTUDUH: Tertuduh diiringi peguam memasuki bilik bicara di Mahkamah Khas Rasuah di sini.


KOTA KINABALU: Seorang bekas pegawai eksekutif didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini selepas didapati menipu pengurus syarikat membabitkan nilai mencecah RM41,000.

Tertuduh Abas Tuah, 59 yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat penerbangan mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan Abas didakwa menipu pengurus syarikat terbabit dengan memperdayakan mangsa mempercayainya untuk mendapatkan tapak perniagaan dan memudahkan pembaharuan kontrak sewaan tapak perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) bagi syarikat berkenaan.

Tertuduh juga melakukan kesalahan itu masing-masing kali pertama pada September hingga Disember 2010 membabitkan pembayaran RM7,000 ke dalam akaun simpanannya diikuti RM11,500 pada Januari sehingga Disember 2011 manakala RM6,000 pada Januari sehingga Jun 2012.

Bagi pertuduhan keempat mangsa diperdaya membayar RM3,000 pada Februari 2013 manakala RM13,500 pada Januari 2014 di akaun sama yang mana kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Kampung Air.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kemudiannya dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM12,000 dan bayaran deposit sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah mengarahkan tertuduh melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah setiap dua bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh juga dilarang menghampiri  atau menggangu saksi pendakwaan dan mahkamah menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

  • oleh
  • Advertisement