Anda di sini

1,000 lagi pemandu Grab dipilih sertai kohort kedua Program Duta Sarawak

Advertisement
 Karim (berdiri, empat kanan) bersama Dennis (empat kiri) ditemani Sharzede (tiga kiri) dan Joyce (tiga kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian pemandu e-panggilan Grab yang berjaya mendapat skor 100 peratus pada program tersebut semalam.
DIRAIKAN: Karim (berdiri, empat kanan) bersama Dennis (empat kiri) ditemani Sharzede (tiga kiri) dan Joyce (tiga kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian pemandu e-panggilan Grab yang berjaya mendapat skor 100 peratus pada program tersebut semalam.

KUCHING: Seramai 1,000 lagi pemandu e-panggilan Grab akan dipilih menyertai kohort kedua Program Duta Sarawak menerusi e-pembelajaran dalam usaha mempromosi dan memberi kesedaran pelancongan di semua bandar utama di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bagaimanapun tidak menyatakan bila ia akan dijalankan namun menerusinya pihaknya akan mencapai 63 peratus sasaran yang telah ditetapkan.

“Grab merupakan perkhidmatan dan syarikat e-panggilan terbesar di Asia Tenggara dengan lebih daripada dua juta pemandu berdaftar dan 68 juta peranti menggunakan aplikasinya.

“Dengan kolaboratif bersama Grab Malaysia, kita dapat memastikan modul produk pelancongan di platform akademi Grab boleh dimuat turun secara eksklusif oleh pemandunya di mana sahaja mereka berada,” katanya pada Majlis Graduasi Program Duta Sarawak untuk pemandu e-panggilan semalam.

“Justeru, kita mahu pemandu e-panggilan Grab merebut peluang dan melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan untuk mempromosikan keunikan serta tarikan pengembaraan, alam semula jadi, budaya, makanan dan festival di sini.”  

Pihak kementerian juga tegasnya, akan sentiasa mencari strategi dan menyedia pelan komprehensif pemulihan sektor pelancongan di Sarawak walaupun masih dalam pergolakan pandemik COVID-19.

Karim yakin pelan mampan akan membantu pembentukan pelancongan yang lebih mantap pada masa depan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau juga berkata sejak ia dilancarkan pada Oktober 2020, seramai 1,000 pemandu e-panggilan Grab kohort 1 di seluruh negeri Sarawak telah tamat kursus berkenaan.

Ia merupakan inisiatif kolaboratif STB dan Grab Malaysia untuk pembelajaran dalam talian dengan modul yang membina kesedaran pelancongan kepada pemandu e-panggilan di sini.

Sejurus tamat kursus masing-masing pemandu e-panggilan Grab  akan diberikan sijil, RM20 baucar Grab sebagai pengiktirafan.

Pada masa yang sama, 161 orang lagi daripada 1,000 pemandu e-panggilan Grab tersebut yang telah mendapat skor 100 peratus diberikan baucar tunai RM50 bersama maskot burung kenyalang Sarawak semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor, Pengurus Operasi Wilayah Grab Malaysia Joyce Lee dan Penasihat Persatuan Hotel Malaysia Kuching Mohamad Ibrahim Nordin.

Advertisement