Anda di sini

Daerah Julau bakal dapat balai bomba kategori E

Advertisement
 Simbolik penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor antara JKR dan Bomba disaksikan Zuraida.
SERAH KUNCI: Simbolik penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor antara JKR dan Bomba disaksikan Zuraida.

BINTANGOR: Daerah Julau bakal mendapat kemudahan balai bomba kategori E, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Katanya, pembinaan balai bomba kategori E itu amat sesuai bagi kawasan pedalaman dan mampu memberi perkhidmatan berdasarkan syarat-syarat pembinaan sesebuah balai di kawasan tertentu.

“Pembinaan balai bomba kategori E di Julau adalah yang pertama dibina di negeri ini.

“Secara asasnya, balai bomba kategori E turut dilengkapi dengan peralatan asas seperti balai-balai bomba lain dan dikawal selia seorang pegawai bomba dari pusat dan dibantu pasukan bomba sukarela.

“Kewujudan balai bomba ini nanti diharap dapat memberi perkhidmatan sewajarnya kepada masyarakat di kawasan ini dan mempercepatkan tempoh masa bertindak jika berlaku sebarang kes kecemasan seperti kebakaran,” katanya pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, petang semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Sri Mohammad Hamdan Wahid, Pengarah JBPM Negeri Sarawak Khirudin Drahman, Pengurus Wilayah JKR Sarawak Anding Uchi, Ahli Parlimen Sarikei Wong Ling Biu, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.

Mengulas berkaitan Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor baharu itu, Zuraida berkata ia adalah usaha kementeriaan memantapkan perkhidmatan bomba kawasan ini.

Jelasnya, dengan dilengkapi kemudahan serba baharu dan terkini diharap dapat memberi lebih keselesaan kepada anggota bomba bertugas dan memberi semangat meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, pewujudan balai bomba di Bintangor merupakan satu keperluan utama dalam usaha memastikan sebarang insiden kecemasan berlaku dapat ditangani dengan lebih efektif dan responsif serta memastikan masyarakat berada di sekitarnya mendapat perlindungan kebombaan menyeluruh.

“Projek pembinaan balai bernilai RM7.9 juta ini merupakan Balai Bomba Kategori C turut dilengkapi dengan kemudahan Ruang Jentera, Padang Kawad, Pejabat Pentadbiran, Stor Logistik dan lain-lain.

“Balai ini diketuai seorang Penolong Penguasa Bomba gred KB 29, seorang Pegawai Bomba Kanan I gred KB 24, berserta tiga Pegawai Bomba Kanan II gred KB22, 13 Pegawai Bomba gred KB19 dan 13 Pegawai Bomba Bantuan.

“Balai bomba ini juga dilengkapi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender jenis Mercedes Artego selain kenderaan marin seperti bot penyelamat bagi melaksanakan tugas-tugas pengoperasian,” jelasnya.

Beliau yakin BBP Bintangor berupaya memenuhi keperluan keselamatan setempat selain membantu menangani insiden kecemasan berlaku di kawasan daerah bersempadanan.

Dalam pada itu, selepas merasmikan BBP Bintangor baharu, Zuraida bersama rombongannya bertolak ke Julau untuk melawat tapak cadangan balai bomba kategori E di Julau.

Advertisement