Anda di sini

JPBNS masih kekal arahan kuarantin wajib 14 hari

Advertisement
 Uggah pada sidang media perkembangan COVID-19, hari ini. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan
Uggah pada sidang media perkembangan COVID-19, hari ini. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan

KUCHING: Sarawak masih mengekalkan arahan kuarantin wajib 14 hari bagi warganegara dan bukan warganegara yang memasuki negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia antara prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri dalam usaha membendung penularan COVID-19.

"Kita membuat sesuatu SOP adalah berlandaskan pada apa yang berlaku kepada negeri Sarawak. Dari awal, kebanyakan kes yang datang dan menyebabkan kes berlaku di Sarawak adalah kes import. Misalannya kes Pasai yang mengakibatkan lebih 3,000 orang berjangkit begitu juga dengan banyak kes lain.

"Sehingga sekarang masih terdapat seperti hari ini, ada satu kes Import A dan satu kes Import B. Jadi, kalau kita tidak menguatkuasakan dasar kuarantin wajib, maka mereka ini akan pergi ke masyarakat dan akan bawa penyakit itu kepada masyarakat," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, jika langkah itu tidak diambil, ia dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan di negeri ini.

“Sudahlah Sarawak sekarang angkanya bertambah, jadi kalau kita tidak mengawal perebakan penyakit ini dari luar, maka keadaan ini akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Selain berhadapan dengan isu itu, katanya, Sarawak juga berdepan dengan masalah kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI), yang masih mengugat keadaan di negeri ini.

“Kita sangat memahami malah turut bersimpati, namun dalam keadaan sekarang, kita mohon rakyat Sarawak memahami situasi ini.

“Kita bukannya mahu menyusahkan rakyat, tetapi apa yang kita lakukan ini adalah untuk melindungi rakyat... Bukan mendiskriminasi atau menghalang perjumpaan dalam kalangan keluarga.

“Itulah sebab terdapat beberapa prosedur yang perlu kita ikuti. Arahan kuarantin ini mungkin akan kita tarik balik, namun ia bergantung kepada situasi di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah berkata, semenjak kes direkodkan pada tahun ini, sebanyak 407 rumah panjang dikenakan sekatan pergerakan.

Daripada jumlah tersebut katanya, sehingga hari ini hanya 48 lagi kawasan masih dikenakan sekatan pergerakan. 

“Ini menunjukkan keadaan di kawasan luar bandar adalah nampak terkawal. Tapi sama ada ia nampak terkawal atau tidak, itu sekali lagi bergantung kepada rakyat semua. 

“Oleh itu, kita harus mengamalkan SOP dan mengambil langkah berjaga-jaga agar virus ini tidak menular di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada penduduk di kawasan luar bandar dan rumah panjang yang menunjukkan sikap terus berjaga-jaga dan memahami bahawa mereka juga mempunyai peranan yang penting untuk mengekang penularan ini.

  • oleh
  • Advertisement