Anda di sini

PSG tamatkan rekod 19 perlawanan tanpa kalah Bayern

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di antara Bayern Munich dan PSG di Munich. — Gambar AFP
SAAT DRAMATIK: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di antara Bayern Munich dan PSG di Munich. — Gambar AFP

MUNICH: Kylian Mbappe menegaskan kelabnya, Paris Saint Germain (PSG) masih banyak yang perlu dilakukan selepas beliau menjaringkan dua gol ketika menewaskan juara bertahan, Bayern Munich 3-2 pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara.

Bayern melihat rekod 19 perlawanan tanpa kalah dalam Liga Juara-Juara berakhir pada perlawanan mirip final musim lepas, kekalahan pertama mereka di Eropah sejak Mac 2019.

PSG mendahului 2-0 selepas 28 minit permainan yang berlangsung tanpa penonton di Allianz Arena ketika Neymar mengumpan bola yang dijaringkan oleh Mbappe dan Marquinhos.

Bayern, dengan penjaring terbanyaknya, Robert Lewandowski tidak diturunkan kerana kecederaan lutut, mengikat kedudukan menerusi gol Eric Maxim Choupo-Moting dan Thomas Mueller.

Bagaimanapun, Mbappe menunjukkan kehebatannya dengan gol kedua peribadi untuk memberikan pasukan pelawat itu kelebihan menjelang perlawanan kedua di Paris pada Selasa minggu hadapan.

Penjaga gol PSG, Keylor Navas, memainkan peranan penting membantu kemenangan pasukannya apabila menepis beberapa cubaan pemain Bayern, ketika beliau berdepan 31 cubaan dari Bayern berbanding hanya enam cubaan tepat PSG.

“Kami harus menjaringkan lebih banyak lagi gol,” kata Mueller.

“Jika ia berakhir 5-3 atau 6-3 untuk kami, tiada siapa boleh merungut tentang kegagalan menyempurnakan peluang.”

Jurulatih Bayern, Hansi Flick, yang tewas buat kali pertama dalam Liga Juara-Juara, juga kecewa kerana pasukannya gagal menyempurnakan banyak peluang.

“Dengan peluang yang kami ada, kami boleh mendapat keputusan lebih baik walaupun bolos tiga gol,” kata Flick.

“Kami tidak suka kekalahan tetapi cara pasukan bermain adalah di tahap tertinggi.”

Ini adalah satu rekod penampilan ke-19 berturut-turut di suku akhir kejohanan buat Bayern, tetapi tiada banyak yang dapat mereka raikan pada akhir perlawanan.

“Kylian Mbappe menjadi perbezaannya. Ia adalah satu keputusan positif untuk kami tetapi semuanya masih terbuka,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

COVID-19 menyelubungi kedua-dua pasukan dengan pemain sayap Bayern, Serge Gnabry dan dua pemain PSG, Alessandro Florenzi dan Marco Verratti, masing-masing menjalani kuarantin selepas diuji positif.

Salji tebal turun dalam separuh masa pertama perlawanan di Munich tetapi PSG memberikan ‘kehangatan’ kepada juara bertahan.

Gol pembukaan hadir apabila Neymar menemui ruang di benteng pertahanan Bayern sebelum mengumpan bola kepada Mbappe untuk melakukan rembatan menerusi celah kaki penjaga gol Bayern, Manuel Neuer.

Julian Draxler ada menambah jaringan untuk PSG tetapi gol itu tidak dibenarkan pengadil selepas Mbappe berkedudukan ofsaid sebelum gol dijaringkan.

Bayern bolos lagi apabila Neymar mengumpan bola kepada Marquinhos untuk menewaskan Neuer kali kedua.

Flick memasukkan Alphonso Davies untuk memberikan kepantasan di jentera serangan dan memindahkan David Alaba di posisi tengah bertahan.

Pertukaran itu membuahkan hasil apabila Bayern merapatkan kedudukan dengan umpanan Mueller ditanduk Choupo-Moting untuk kedudukan 1-2 pada masa rehat.

Neymar dinafikan gol oleh Neuer sebelum cubaan Angel Di Maria dikeluarkan sebelum melepasi garisan gol.

Bayern berjaya mengikat kedudukan apabila Mueller menanduk satu tendangan percuma Joshua Kimmich dan ketika Bayern mengintai gol kemenangan, Mbappe menjaringkan gol kemenangan selepas melepasi kawalan Jerome Boateng ketika berbaki 22 minit permainan. — AFP

Advertisement