Anda di sini

Bayi empat bulan maut kereta dirempuh pacuan empat roda 

Advertisement
 Keadaan kenderaan kompak yang remuk di bahagian hadapan selepas dirempuh pacuan empat roda di Jalan Papar- Beaufort di sini.
REMUK: Keadaan kenderaan kompak yang remuk di bahagian hadapan selepas dirempuh pacuan empat roda di Jalan Papar- Beaufort di sini.

PAPAR: Bayi lelaki berumur empat bulan maut selepas kereta dinaiki bersama ibu bapa serta abangnya dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 20 Jalan Papar-Beaufort di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata kejadian jam 1.20 petang itu membabitkan sebuah pacuan empat roda dan kereta kompak.

“Siasatan mendapati kereta pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berumur 40 tahun dalam perjalanan dari arah Papar ke Membakut.

“Sebaik tiba di lokasi kenderaan terbabit hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta kompak dari arah Beaufort ke Papar dipandu lelaki tempatan berumur 30 tahun yang membawa isteri serta anak lelakinya masing-masing berumur lima tahun dan empat bulan,” katanya.

Menurutnya impak rempuhan menyebabkan kenderaan kompak remuk di bahagian hadapan.

“Kesemua mangsa dari kenderaan kompak terbabit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba bagaimanapun bayi empat bulan disahkan maut oleh pasukan perubatan di lokasi.

“Pemandu kereta pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan iaitu sakit di bahagian dada,” katanya.

Beliau berkata mayat bayi dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tindakan lanjut manakala ahli keluarga lain dihantar ke Unit Kecemasan untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda diarahkan ke Pejabat Trafik IPD Papar untuk membuat laporan polis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement