Anda di sini

Presiden Tanzania meninggal dunia pada usia 61 tahun

Advertisement
 Seorang lelaki membaca surat khabar yang melaporkan berita kematian Magufuli di muka depannya di Dar Es Salaam semalam. — Gambar AFP
TIADA LAGI: Seorang lelaki membaca surat khabar yang melaporkan berita kematian Magufuli di muka depannya di Dar Es Salaam semalam. — Gambar AFP

DAR ES SALAAM: Presiden Tanzania John Pombe Magufuli meninggal dunia kelmarin pada usia 61 tahun kerana masalah jantung, kata naib presiden selepas lebih lima tahun memerin-tah secara autoritarian dan dikenali kerana keengganannya mengambil serius pandemik COVID-19 dalam negaranya.

Magufuli, popular dengan jolokan “Bulldozer”, hilang dari pandangan awam selama lebih tiga minggu, membangkitkan spekulasi tentang masalah kesihatannya, dengan pemimpin pembangkang mendakwa beliau dijangkiti virus COVID-19.

“Dengan rasa dukacita saya memberitahu anda hari ini, 17 Mac, 2021 pada jam 6 petang (waktu tempatan), kita kehilangan pemimpin berani kita,” kata naib presiden Samia Suluhu Hassan.

Hassan berkata, Magufuli meninggal dunia kerana “masalah jantung”, yang dialaminya sejak sedekad lalu, di sebuah hospital di Dar es Salaam.

Beliau pada mulanya dimasukkan ke Institut Jantung Jakaya Kikwete pada 6 Mac tetapi kemudian dibenarkan keluar, kata Hassan.

Tetapi Magufuli sekali lagi tidak sihat dan dikejarkan ke hospital pada 14 Mac, kali  ini di Hospital Memorial Emilio Mzena di Dar es Salaam.

Hassan mengumumkan  tempoh perkabungan selama 14 hari.

Kali terakhir Magufuli muncul di khalayak ramai ialah pada 27 Februari dan beliau, seorang penganut Katolik, tidak hadir pada tiga acara kebaktian Ahad di mana beliau kebiasaannya berucap, sekali gus membangkitkan kerisauan.

Pemimpin pembangkang Tundu Lissu merujuk sumber berkata bahawa presiden dijangkiti COVID-19, ketika tuntutan mendesak untuk maklumat tentang kedudukannya dan khabar angin juga mendakwa Magufuli cuba mendapatkan rawatan di luar negara.

Penyokong Magufuli me-ratapi kematiannya selepas berminggu-minggu menghilangkan diri, dan membayangkan ketidaktentuan politik selepas ini.

“Saya secara peribadinya sedih. Saya sudah kehilangan harapan kerana saya bergantung kepada beliau sebagai pemimpin saya. Beliau seorang pemimpin golongan miskin dan sekarang kami tertanya-tanya bagaimana keadaan sekarang dengan pemimpin kami sudah me-ninggal dunia,” kata seorang penyokongnya di Dar es Salaam.

Magufuli kali pertama dilantik presiden pada 2015 dengan kempen menangani rasuah, menjadikan beliau sangat popular di kalangan rakyat.

Bagaimanapun beliau mula memerintah secara autoritarian, yang menyaksikan pembanterasan ke atas media, masyarakat madani dan pembangkang, membangkitkan kebimbangan di kalangan sekutu asing dan kumpulan hak asasi.

Pelantikan semulanya pada Oktober tahun lepas dibantah pembangkang dan beberapa diplomat sebagai memalukan kerana dakwaan penipuan, melarang kehadiran media asing dan pasukan pemerhati antarabangsa dan menggunakan tentera untuk menekan mereka yang menentang-nya.

Penganalisis berkata, Magufuli merosakkan demokrasi di salah sebuah negara paling stabil di benua Afrika.

Magufuli juga memper-luaskan pendidikan percuma, penyediaan elektrik di luar bandar dan melabur ke dalam projek infrastruktur seperti landasan kereta api, empa-ngan hidro untuk meningkatkan kapasiti elektrik dan memulihkan semula syarikat penerbangan kebangsaan.

Kerajaannya juga melulus-kan beberapa undang-undang untuk meningkatkan kepentingan kerajaan dalam sumber mineral dan me-nuntut jutaan dolar cukai dari syarikat perlombongan asing.

Namun cara Magufuli menangani COVID-19 telah mencemari kepimpinannya.

Beliau adalah salah seorang dari beberapa pemimpin dunia, bersama-sama bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan presiden Brazil, Jair Bolsonaro, yang memperlekeh-kan COVID-19.

Magufuli meminta rakyat  berdoa berbanding memakai pelitup muka, membatalkan pendedahan statistik COVID-19 pada April 2020 apabila negara itu merekodkan sejumlah 509 kes dan 16 kematian.

Beliau juga lebih dikenali kerana mendakwa doa telah menyelamatkan negaranya dari COVID-19.

“Kerana itu kenapa kita semua tidak memakai pelitup muka di sini. Anda fikir kami tidak takut dengan kematian? Ia kerana tiada COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun menjelang Februari, ketika jangkitan melonjak dan naib presiden di wilayah separa autonomi Zanzibar disahkan meninggal dunia kerana COVID-19, Magufuli akhirnya mengakui bahawa COVID-19 benar-benar wujud.

Namun, beliau memberi amaran kepada kementerian kesihatannya untuk tidak tergesa-gesa menyuntik vaksin dengan berkata ia “berbahaya”.

Di bawah perlembagaan Tanzania, Hassan akan menjadi presiden wanita pertama negara itu dan akan menerima  nasihat dari parti memerin-tah, Chama Cha Mapinduzi tentang pelantikan naib pre-siden baharu. — AFP

Advertisement