Anda di sini

Pengarah Hollywood calonkan dua wanita untuk anugerah utama buat pertama kali

Advertisement
EMERALD FENNELL
EMERALD FENNELL

SETAHUN selepas langsung tidak memasukkan wanita ke dalam senarainya, para pengarah Hollywood telah mencalonkan dua pengarah filem wanita untuk anugerah utama mereka bagi kali pertama dalam sejarah anugerah selama tujuh dekad.

Pengarah ‘Nomadland’ Chloe Zhao dan pengarah ‘Promising Young Woman’ Emerald Fennell menjadi wanita yang kesembilan dan kesepuluh dicalonkan bagi  kategori filem cereka cemerlang di Directors Guild of America.

“Saya mengucapkan tahniah kepada lima orang calon yang mana filem mereka yang luar biasa dan berbeza memiliki kuasa sejagat dalam tempoh setahun  yang tidak mungkin akan dilupai,” kata presiden DGA Thomas Schlamme dalam satu kenyataan.

Zhao yang dilahirkan di Beijing dan pengarah British Fennell telah turut disertai dalam senarai pendek oleh Lee Isaac Chung, yang menggambarkan tentang sejarah keluarga pendatang Korea-Amerika untuk drama ‘Minari’.

Kategori tersebut turut disertai oleh David Fincher, untuk bayangan semula Zaman Emas Hollywood ‘Mank’, dan Aaron Sorkin bagi drama mahkamah 1960-an ‘The Trial of the Chicago 7’.

Anugerah DGA merupakan satu petunjuk yang kuat bagi anugerah pengarah terbaik Oscar.

Hanya seorang wanita iaitu Kathryn Bigelow yang telah memenangi anugerah utama DGA,  dan beliau telah mengaut satu-satunya kemenangan pengarah wanita Oscar dalam sejarah bagi filem ‘The Hurt Locker’ pada 2009.

Pada tahun lepas, beberapa acara anugerah utama termasuk DGA dan Oscar telah menolak semua filem yang diterajui oleh wanita dalam kategori pengarah mereka, dengan ketiadaan Greta Gerwig bagi filem ‘Little Women’ yang mendapat pujian ramai menarik kritikan hebat.

Industri perfileman Hollywood berada di bawah penelitian yang rapi berikutan kekurangan kepelbagaian sejak beberapa tahun lepas.

DGA turut mendedahkan lima orang calon bagi anugerah pengarah cereka buat kali pertama, termasuk Regina King untuk ‘One Night in Miami’ dan Radha Blank bagi ‘The Forty-Year-Old Version’.

Para pemenang DGA akan diumumkan dalam satu acara maya yang akan diadakan pada 10 April depan, kira-kira dua minggu sebelum Anugerah Oscar yang ditangguhkan akibat pandemik. — AFP

Advertisement