Anda di sini

Buruh dipenjara kerana pukul dan ugut bunuh bapa, gara-gara salah beli colok

Advertisement
 

KUCHING : Perbuatan seorang buruh lelaki yang memukul bapanya menggunakan sebungkus colok sebelum mengugut bunuh mangsa membawa padah apabila dia dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh, Chin Chee Hui, 33, mengaku bersalah sejurus dua pertuduhan di bawah dua seksyen berasingan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan pertama dibawah Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap bapanya yang berusia 66 tahun dalam satu kejadian pada 25 Februari lalu, jam lebih kurang 10.40 malam di kediaman mereka di Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya, di sini. 

Pertuduhan kedua di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan pula menyaksikan tertuduh mengugut bunuh bapanya sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa, di tempat dan waktu yang sama. 

Berdasarkan keterangan kes, berlaku perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa sehingga tertuduh bertindak menyerang mangsa menggunakan sebungkus lidi colok (alat untuk sembahyang). 

Difahamkan, tertuduh berbuat demikian kerana bapanya tersalah beli colok.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kening sebelah kanan. 

Setelah mencederakan mangsa, tertuduh seterusnya bertindak mengugut hendak membunuh mangsa sekiranya membuat laporan polis. 

Akibat perbuatan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dipenjara tujuh bulan. 

Mahkamah bagaimanapun mengarahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap tertuduh iaitu pada 26 Februari lalu. 

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.  
 

Advertisement