Anda di sini

316 PATI dihantar pulang ke Filipina

Advertisement
 PATI warga Filipina menaiki feri di Pelabuhan Sandakan.
HANTAR PULANG: PATI warga Filipina menaiki feri di Pelabuhan Sandakan.

SANDAKAN: seramai 316 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, di sini.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Dato’ Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Negeri Sabah) dengan kerjasama Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur diketuai oleh Konsul Jeneral Anne Jalando-On Louis telah melaksanakan Program Penghantaran Pulang PATI Warganegara Filipina Siri Pertama bagi tahun 2021 yang melibatkan seramai 316 orang.

“Semua PATI warganegara Filipina tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Tawau sejak tahun 2020 dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina setelah melalui perjalanan darat dari Tawau ke Sandakan sekitar 7 jam,” katanya.

Beliau berkata proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 dan proses pengasingan PATI bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan untuk memastikan tidak wujud penularan jangkitan COVID-19 terhadap setiap PATI sebelum penghantaran pulang dilaksanakan seiring dengan prosedur operasi standard (S.O.P) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 seperti Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan dan Peraturan 39(b) melanggar syarat pas atau permit,” katanya.

Muhamad Sade berkata program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Negeri Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh Negeri Sabah.

“Walaupun proses pengusiran pada awal tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun hasil kerjasama erat di antara jabatan ini dengan pegawai kedutaan Filipina telah berjaya melaksanakan pengusiran berkenaan dengan teratur,” jelasnya.

Beliau memberitahu JIM Negeri Sabah  ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan Program Penghantaran Pulang Siri 1/2021 termasuk Kedutaan Filipina, Kementerian Luar Negeri, Kerajaan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi lain yang membantu melancarkan operasi pengusiran ini.

“JIM Negeri Sabah terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement