Anda di sini

Leipzig tewaskan Moenchengladbach, kekalkan saingan kejuaraan Bundesliga

Advertisement
 Nkunku (kiri) menjaringkan gol pada perlawanan Bundesliga Jerman di antara RB Leipzig menentang Borussia Moenchengladbach di Leipzig, Jerman, kelmarin. — Gambar AFP
BOLOS: Nkunku (kiri) menjaringkan gol pada perlawanan Bundesliga Jerman di antara RB Leipzig menentang Borussia Moenchengladbach di Leipzig, Jerman, kelmarin. — Gambar AFP

BERLIN: Gol minit akhir Alexander Sorloth melengkapkan kebangkitan RB Leipzig untuk menewaskan Borussia Moenchengladbach 3-2 dan mengekalkan saingan kejuaraan Bundesliga Jerman pada Sabtu.

Leipzig bangkit dengan gol dalam separuh masa kedua oleh Christopher Nkunku dan Yussuf Poulsen sebelum Sorloth menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 selepas Gladbach mendahului 2-0 pada masa rehat.

“Kami akan mencuba sedaya-upaya kami untuk mengekalkan saingan menarik Bundesliga,” kata jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann.

“Kami harus mengekalkan rentak. Ia adalah kemenangan yang sangat penting dari segi kedudukan liga.

“Kami cemas apabila bolos dua gol tetapi kami bangkit bergaya dalam separuh masa kedua.”

Kemenangan mengekalkan Leipzig, di tangga kedua liga, kurang dua mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich, yang sebelum ini membelasah Cologne 5-1.

Gladbach menguasai sepenuhnya permainan dalam separuh masa pertama selepas Jonas Hofmann menjaringkan gol pembukaan dari penalti awal sebelum Marcus Thuram menambah jaringan dari satu tandukan Breel Embolo.

Bagaimanapun, Sorloth masuh dari bangku simpanan dan membantu kebangkitan pasukannya dalam separuh masa kedua.

Bekas penyerang Crystal Palace itu ada menjaringkan gol lebih awal tetapi tidak dibenarkan pengadil selepas terkena tangan sebelum beliau mengumpan bola kepada Nkunku untuk menjaringkan gol pertama Leipzig pada  minit ke-57.

Poulsen menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-66 ketika Leipzig terus menguasai permainan tetapi memerlukan minit kecederaan untuk Sorloth menjaringkan gol kemenangan.

Pada perlawanan awal, Bayern bangkit selepas hanya mengutip satu mata dari dua perlawanan liga terakhir apabila pemain tengahnya, Leon Goretzka mengumpan tiga gol.

Eric Maxim Choupo-Moting membuka jaringan untuk Bayern pada awal permainan sebelum Robert Lewandowski, penjaring terbanyak liga, menjaringkan dua gol untuk menambah koleksi gol liga beliau kepada 28 gol setakat musim ini.

Serge Gnabry masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol lewat pada perlawanan tanpa penonton di Allianz Arena pada penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan di final Piala Kelab Dunia di Qatar.

Wolfsburg kekal di tangga ketiga, kurang tujuh mata di belakang Bayern selepas menewaskan  Hertha Berlin 2-0 di tempat sendiri. Gol kemenangan Wolfsburg adalah dari gol sendiri Lukas Kluenter dan gol Maxence Lacroix.

Jadon Sancho menyempurnakan satu tendangan penalti dan pemain tengah Reinier menjaringkan gol pertamanya untuk Borussia Dortmund, yang menewaskan Arminia Bielefeld 3-0 untuk kekal di tangga kelima liga.

Wataru Endo menjaringkan dua gol pertamanya dalam Bundesliga ketika Stuttgart membelasah Schalke 5-1. — AFP

Advertisement