Anda di sini

Kane dijangka kekal di Tottenham semusim lagi

Advertisement
KANE
KANE

LONDON: Kapten Tottenham Hotspur, Harry Kane, dijangka akan terus kekal di kelab untuk satu tahun lagi dengan kelab-kelab terbesar di Eropah menerima kesan kewangan dari pandemik COVID-19 yang menyebabkan mereka keberatan untuk berbelanja besar.

Menurut akhbar The Telegraph, Kane, dengan kontrak semasa beliau akan berakhir pada Jun 2024, dijangka akan terus kekal di kelab pada musim hadapan walaupun ada minat mendalam untuk khidmatnya.

Pemilik Spurs, Daniel Levy, meletakkan nilai harga 150  juta pound ke atas Kane, yang masih belum memenangi sebarang kejuaraan bersama Spurs walaupun menjaringkan 209 gol dari 319 perlawanan bersama kelab.

Spurs ketika ini berada di tangga kesembilan liga tetapi Kane mempunyai peluang untuk menamatkan penantian kejuaraan sulung beliau dalam Liga Europa atau Piala Liga Inggeris, dengan Tottenham masih bersaing pada kedua-dua kejohanan itu.

Walaupun Tottenham berazam untuk mengekalkan Kane, mereka menyedari bahawa nilai beliau akan berkurangan ketika menghampiri pengakhiran kontraknya.

Dua kelab gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid mempunyai masalah kewangan dan dijangka tidak akan mampu untuk cuba mendapatkan khidmat penyerang berusia 27 tahun itu.

Kelab juara bertahan Ligue 1 Perancis, Paris Saint Germain (PSG), dijangka lebih memberi fokus untuk mengekalkan penyerang muda, Kylian Mbappe dan Neymar berbanding mendapatkan Kane.

Manchester City dan Manchester Unted juga dikaitkan dengan  Kane.

Satu perjanjian pertukaran pemain melibatkan Kane juga satu kemungkinan tetapi langkah seperti itu kurang menarik minat Spurs. — AFP

Advertisement