Anda di sini

Tender projek naik taraf jalan Bajau Kupang di Saratok dibuka suku keempat tahun ini

Advertisement
Ali (tengah) mendengar taklimat mengenai projek pembangunan infrastruktur di Saratok termasuk naik taraf Jalan Bajau Kupang.
Ali (tengah) mendengar taklimat mengenai projek pembangunan infrastruktur di Saratok termasuk naik taraf Jalan Bajau Kupang.

KUCHING: Projek naik taraf Jalan Bajau Kupang di Saratok dijangka akan dibuka tender bermula pada suku keempat tahun ini sebaik sahaja selesai muktamad reka bentuk.

Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju berkata beliau difahamkan juga jurutera perunding projek berkenaan telah dilantik.

Menurut beliau, ia adalah projek menaiktaraf jalan sedia ada (batu kelikir) ke jalan berturap sepanjang 16.9 kilometer (km).

"Projek naik taraf jalan Bajau Kupang adalah merangkumi jalan masuk ke kampung-kampung dan sekolah sepanjang 3.6 km iaitu Rumah Ganing, Rumah Rengan, Rumah Lakon, Rumah Anau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Entebu.

"Ia juga termasuk menggantikan tiga buah jambatan kecil," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Ali (empat kiri) bersama ahli rombongan lain dan wakil JKR Sarawak merakam kenangan semasa kunjungan ke ibu pejabat berkenaan, semalam.
Ali (empat kiri) bersama ahli rombongan lain dan wakil JKR Sarawak merakam kenangan semasa kunjungan ke ibu pejabat berkenaan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian sebelum itu berpeluang berkunjung ke ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan diberikan taklimat khas Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Sarawak Chiew Chee Yau di sini, semalam.

Katanya pertemuan itu juga turut membincangkan pelbagai agenda pembangunan terutamanya melibatkan infrastruktur jalan raya di Saratok termasuk berkenaan dengan projek Jalan Bajau Kupang.

Mengulas lanjut mengenai projek jalan Bajau Kupang, Ali berkata projek merupakan salah satu daripada projek dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan dikendalikan oleh JKR Sarawak selaku agensi pelaksana dengan kos dianggarkan bernilai RM90 juta.

"Pelaksanaan projek menaik taraf jalan sepanjang 16.9 km ini, bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk tetapi juga pekebun kecil di kawasan sekitar.

"Saya berharap agar projek ini dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin, kerana ini akan memudahkan dan memendekkan lagi jarak perjalanan dari Kupang ke Saratok.

"Saya akan sentiasa memantau dan berhubung dengan pihak JKR Sarawak bagi memastikan projek ini dilaksanakan dengan lancar dan mampu siap dalam jangka masa yang ditetapkan," katanya yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Hadir sama pada perbincangan berkenaan, Timbalan Pengarah (Bahagian Kemajuan Luar Bandar), Suriati Yaakop dan Jurutera Bintang Senari PLT, Chong Wee Lin.
 

Advertisement