Anda di sini

SAS umum agihan pendapatan interim 4.20 peratus

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor mengisytiharkan pengagihan pendapatan Interim Pertama Saham Amanah Sabah (SAS) pada kadar 4.20 peratus atau 4.20 sen se unit bersih tahun ini, yang akan dibayar kepada 49,626 pelabur.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa SAS berjaya memperoleh pendapatan bersih sejumlah RM52,987,461 setakat 22 Februari 2021,” katanya.

Pencapaian positif ini menghasilkan kadar pulangan pendapatan sebanyak 12.07 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih SAS se unit sebanyak RM0.3478 pada 2 Januari  dengan membabitkan pembayaran tunai sejumlah RM51,709,980 berdasarkan kepada bilangan unit yang dipegang oleh 1,231,190,000 pelabur.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mendengar taklimat mengenai pretasi dan pencapaian SAS, Saham Sabah Berhad (SSB) di PPNS di sini.

Taklimat itu diberikan dalam kunjungan hormat SSB yang diketuai oleh Timbalan Pengerusinya, Luvita Koisun.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hassan Abbas dan Timbalannya, Aisah Sayadi dan ahli lembaga pengarah, Datuk Peter Thien; Datuk Haji Naim Ahmad dan Datuk Nellie Sikodol.

Kira-kira 98.17 peratus pendapaatan SAS diperoleh daripada pelaburan dalam pasaran saham manakala 1.43 peratus daripada penerimaan dividen dan 0.40 peratus (pasaran kewangan).

Pengagihan Pendapatan Interim ini akan dibayar kepada 49,626 pelabur terdiri daripada 42,114 (84.86 peratus) pelabur individu; 7,317 (14.74 peratus) pelabur di bawah skim Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT); 147 (0.30 peratus) adalah pelabur melalui pinjaman bank dan 48 (0.10 peratus) pelabur korporat.

Selama beroperasi selama 26 tahun, termasuk pengagihan pendapatan ini, SAS telah mengagihkan pendapatan tunai sebanyak 23 kali yang membabitkan pembayaran sejumlah RM694,941,626 atau 94.77 sen se unit atau 94.77 peratus dan saru pengagihan berbentuk unit pelaburan semula pada kadar 0.40 sen seunit (0.40 peratus).

“Walaupun pasaran saham global mengalami aktiviti ekonomi yang bergolak atau tidak menentu dan lemah kerana kesan pandemik COVID-19, kami gembira dapat memberi pulangan kepada pemegang unit SAS.

“Prestasi positif ini kerana pengurusan kewangan yang berhemah dan menggunakan strategi pelaburan yang tepat,” katanya.

SSB selaku pengurus Skim SAS  akan terus berusaha untuk menjana pulangan yang berpatutan selaras dengan objektif pelaburannya.

“Saya ingin menjemput bakal pelabur dan pelabur sedia ada terutamanya agensi kerajaan negeri yang mempunyai kecairan untuk melabur, tampil ke hadapan memandangkan masih ada lagi unit SAS  yang boleh dilanggan,” katanya.

Advertisement