Anda di sini

Projek saluran paip air dasar laut bernilai RM3 juta

Advertisement
 Hamsan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penduduk Kampung Nunuyan sambil diperhatikan oleh Mokran.
BAKUL MAKANAN: Hamsan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penduduk Kampung Nunuyan sambil diperhatikan oleh Mokran.

SANDAKAN: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Mohd Hamsan Haji Awang Supain akan mencadangkan kepada kerajaan bagi projek pembinaan saluran paip air dasar laut ke Pulau Nunuyan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga berkata, projek saluran paip dasar laut ini dianggarkan bernilai RM3 juta.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan cadangan projek berkenaan kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Kerja Raya Sabah bagi melakukan penyelidikan dan pembinaan projek terbabit.

"Saya melihat pembangunan asas seperti bekalan air bersih di Kampung Nunuyan ini perlu ada. Saya mencadangkan pembinaan saluran paip dasar laut ke pulau ini amat penting dalam memastikan penduduk kampung menikmati bekalan air bersih yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini semasa dia selaku Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pernah melaksanakan projek pembangunan bekalan elektrik 24 jam ke pulau ini sewaktu Tan Sri Musa Aman menjadi wakil rakyat kawasan ini dan telah direalisasikan.  
 
"Tidak mustahil juga untuk kita bangunkan bekalan air bersih menerusi saluran penyambungan paip dasar laut ke Pulau Nunuyan," katanya yang mempunyai pengalaman mengenai projek saluran paip dasar laut ke Pulau Tanjung Aru.

Beliau berkata, sekiranya kedua-dua kemudahan asas itu telah dimiliki di pulau ini maka pembangunan seterusnya akan lebih baik ke pulau ini.

"Ini termasuklah pulau ini mempunyai potensi dalam industri pelancongan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 215 bantuan bakul makanan UMNO Bahagian Libaran di Pulau Nunuyan, kelmarin.

Hadir sama, ADUN Sungai Manila Mokran Ingkat, Timbalan Presiden MPS Faridah Giau dan para pemimpin masyarakat.

Hamsan berkata, ini akan membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung sekiranya pihaknya berjaya menarik pelabur industri pelancongan ke pulau berkenaan.    

Beliau berkata, penduduk Pulau Kampung Nunuyan bakal menikmati bekalan air bersih yang lebih baik menerusi projek berkenaan dan ini adalah harapan pihaknya dalam tempoh lima tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement