Anda di sini

Gagal letak tanda harga: Sembilan peniaga dikompaun, dua disiasat 

Advertisement
 Pegawai KPDNHEP memeriksa penjualan LPG di salah sebuah premis di sini.
PERIKSA: Pegawai KPDNHEP memeriksa penjualan LPG di salah sebuah premis di sini.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memgambil tindakan kes terhadap 11 peniaga yang menjual Gas Petroleum Cecair (LPG) di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata tindakan yang diberikan dalam tempoh 19 hingga 25 Februari dilaksanakan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 122 premis perniagaan seluruh Sabah.

“Hasil pemeriksaan terbabit berjaya mengenakan kompaun sebanyak RM4,500 terhadap sembilan peniaga manakala dua lagi kes sedang dalam siasatan.

“Sepanjang tempoh itu juga KPDNHEP berjaya merampas barangan berkaitan bernilai kira-kira RM1,117.20,” katanya.

Bercakap lanjut berkenaan tindakan itu, Georgie berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah sembilan peniaga gagal mempamerkan penandaan harga terhadap LPG yang dijual mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Tambahnya dua kes lagi adalah mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu peniaga tidak menyelenggarakan Buku Penyata Stok LPG.

“Harga runcit yang ditetapkan bagi LPG sebagai barang kawalan berjadual dan bersubsidi adalah RM1.90 sekilogram (kg) dan peniaga tidak dibenarkan menjual melebihi RM19.00 bagi silinder 10kg, RM22.80 bagi silinder 12kg dan RM26.60 bagi silinder 14kg. 

“Penandaan harga LPG yang dijual hendaklah dipamerkan dengan jelas di premis perniagaan dan peniaga juga perlu mempamerkan caj penghantaran, jika ada,” katanya.

Katanya KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan terutamanya penjualan barangan kawalan untuk memastikan semua peniaga mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna.

  • oleh
  • Advertisement