Anda di sini

Nuklear: Iran dan IAEA bincang satu ‘penyelesaian sementara’

Advertisement
 Grossi bercakap kepada media ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna kelmarin. — Gambar AF
PENYELESAIAN SEMENTARA: Grossi bercakap kepada media ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna kelmarin. — Gambar AF

VIENNA: Ketua pemantau nuklear dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Rafael Grossi, kelmarin berkata bahawa beliau ada berunding satu ‘penyelesaian sementara’ selepas dua hari rundingan dengan pegawai Iran untuk membenarkan badan dunia itu terus melakukan kerja-kerja pemeriksaan nuklear dan memberikan ruang untuk rundingan diplomatik mengenai isu nuklear Iran.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa walaupun di bawah perjanjian baharu tiga bulan, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), tidak mempunyai tahap akses yang sama sebaik sahaja satu undang-undang dikuat kuasa pada Selasa yang menghadkan beberapa pemeriksaan.

Kunjungan Grossi ke Iran hadir berikutan dengan peningkatan usaha antara pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, kuasa-kuasa Eropah dan Iran untuk menyelamatkan perjanjian nuklear 2015 yang di ambang kegagalan sejak Donald Trump menarik diri daripada perjanjian itu dan kemudian mengenakan sekatan ke atas Iran.

Parlimen Iran yang dikuasai konservatif, meluluskan undang-undang pada bulan Disember yang mendesak negara menggantung beberapa pemeriksaan nuklear jika AS gagal menarik balik sekatan menjelang Ahad ini.

Iran telah memberitahu PBB bahawa jika sekatan tidak ditarik balik, ia akan menggantung ‘langkah ketelusan sukarela’ – terutama sekali lawatan pemeriksaan ke kawasan bukan nuklear, termasuk kawasan ketenteraan yang disyaki melakukan aktiviti berkaitan nuklear.

Grossi berkata di bawah “pemahaman teknikal sementara... terdapat kurang akses, ia satu hakikat.”

“Tetapi kami masih dapat mengekalkan tahap pemantauan yang diperlukan dan melakukan kerja-kerja pengesahan,” tambah beliau.

Menteri luar Iran, Mohamma Javad Zarif, sebelum pertemuan dengan Grossi, memberi isyarat bahawa Iran mahu mengelak ‘jalan buntu’ mengenai pemeriksaan tetapi juga memberi amaran bahawa ia akan menjauhkan diri daripada komitmennya jika Washington tidak menarik balik sekatan.

Grossi berkata beliau berharap pemergiannya ke Tehran adalah “untuk menstabilkan situasi yang tidak stabil”.

Timbalan menteri luar Iran, Abbas, Araghchi, berkata lewat Sabtu lepas bahawa “kapasiti pemeriksaan IAEA akan dikurangkan kepada kira-kira 20 hingga 30 peratus selepas pelaksanaan undang-undang baharu di parlimen”.

Biden komited untuk menyertai semula rundingan program nuklear Tehran, satu perubahan daripada polisi tegang Trump terhadap Iran.

Tehran sudah berulang kali berkata ia sudah kembali kepada komitmen nuklear dengan syarat Washington membuat langkah pertama dengan menarik balik sekatan yang memberi kesan kepada ekonomi Iran.

Zarif berkata bahawa dari pandangan Iran, “tiada apa yang berubah” ketika pentadbiran Biden setakat ini masih mengekalkan polisi lama Trump mengenai Iran.

Diplomat tertinggi Iran memberi amaran bahawa jika sekatan tidak ditarik balik, Iran akan terus mengetepikan komitmennya di bawah persetujuan pada 2015 bersama lima anggota tetap Majlis  Keselamatan PBB dan Jerman.

Simpanan “penguraian uranium akan ditambah,” kata beliau dengan menegaskan bahawa Tehran mempunyai hak dalam perjanjian untuk menamatkan komitmen pemantauan ‘sepenuhnya atau separuhnya’ jika pihak lain tidak menghormati komitmen mereka.

“Kami masih dalam fasa separuh komitmen,” kata Zarif. “Kami boleh melakukan fasa sepenuhnya.”

Pengarah politik Kesatuan Eropah, Enrique Mora, pada pertengahan minggu lepas mencadangkan satu ‘pertemuan rasmi’ melibatkan Iran – dan Washington secara prinsipnya menerima cadangan itu. — AFP

Advertisement