Anda di sini

JAS Sabah laksana OPS Gempur

Advertisement
 Pemeriksaan di salah satu lokasi Ops Gempur yang dilaksanakan oleh pegawai JAS Negeri Sabah.
PERIKSA: Pemeriksaan di salah satu lokasi Ops Gempur yang dilaksanakan oleh pegawai JAS Negeri Sabah.

- Pastikan pihak industri patuhi kehendak perundangan alam sekitar 

KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah giat menjalankan Operasi Gempur (Ops Gempur) bagi memastikan pihak industri mematuhi kehendak perundangan alam sekitar dalam menjalankan operasi premis.

Pengarah JAS Negeri Sabah Amirul Aripin berkata, Ops Gempur dijalankan sepanjang bulan Februari ini dengan pemeriksaan dan penguatkuasaan melibatkan seramai 40 pegawai penguatkuasa JAS Negeri Sabah.

Menurutnya, operasi terbabit juga dilaksanakan bagi memastikan isu pencemaran alam sekitar terus ditangani oleh JAS Sabah secara konsisten dengan mematuhi norma baharu.

"Kriteria premis untuk diperiksa semasa Ops Gempur JAS Sabah ini adalah premis yang terletak di hulu takat pengambilan air atau lembangan sungai yang sensitif dan premis yang sering dikenakan aduan atau bermasalah.

"Turut diperiksa premis yang menghasilkan beban pencemaran atau buangan terjadual yang tinggi, premis yang dilesenkan oleh JAS serta premis yg beroperasi secara haram serta menyebabkan pencemaran," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, JAS Negeri Sabah terus mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

Dalam pada itu, pihaknya turut berterima kasih kepada orang awam yang membantu dalam memberikan maklumat berhubung aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar. 

"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari.

"Selain itu aduan juga boleh dihantar ke e-mel [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

  • oleh
  • Advertisement