Anda di sini

Rayuan ditolak, hukuman penjara 12 tahun kekal

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak rayuan tiga lelaki tempatan berhubung kesalahan memiliki 44.50 gram dadah berbahaya jenis Metamfetamina, sekali gus mengekalkan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadap mereka.

Tertuduh Boon Yean Shung, 31, Yong Joon Kong, 20, dan Lai Muk Loi, 34 sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Berikutan itu, mahkamah pada 3 Julai 2020 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan sepuluh sebatan terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki tersebut membuat rayuan terhadap hukuman tersebut dan Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai hari ini menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman terhadap mereka dan mengatakan rayuan tersebut tidak mempunyai merit.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memiliki 44.50 gram Metamfetamina pada 11 Mac 2019 di sebuah rumah di Jalan Seringgok, Bau pada jam 2.19 pagi. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau untuk satu tempoh tidak kurang dari lima tahun atau sebat tidak kurang 10 sebatan.

Tertuduh Yong dan Lai masing-masing diwakili peguam, Osman Ibrahim dan Lim Lian Kee manakala tertuduh Boon diwakili CM Sundram. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ruthra Raj.

  • oleh
  • Advertisement