Anda di sini

Pembaikan pasca banjir akan disegerakan

Advertisement
 Jalan Kg Sarang yang rosak dan tidak dapat digunakan oleh penduduk kampung akibat banjir baru-baru ini.
ROSAK: Jalan Kg Sarang yang rosak dan tidak dapat digunakan oleh penduduk kampung akibat banjir baru-baru ini.

KOTA BELUD: Usaha pembaikan pasca banjir di kawasan Pintasan akan dipercepatkan demi memastikan aktiviti seharian penduduk kembali seperti sedia kala.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan (gambar kecil) berkata, selepas banjir pasti akan ada kerosakan khususnya melibatkan jalan utama yang menjadi penghubung bagi kampung-kampung kecil ke pekan Kota Belud.

"Biasanya bila banjir, pasti masalah akan timbul, terutamanya melibatkan kerosakan jalan, jambatan dan titi yang sememangnya menjadi penghubung kepada penduduk di kampung untuk keluar menjalankan aktiviti harian seperti bekerja, berniaga atau membeli barang keperluan.

"Kampung Sarang khususnya, jalan yang menjadi laluan harian penduduk sudah runtuh dan rosak kerana banjir.

"Air sungai yang deras ini sememangnya merosakkan struktur jalan dan perlu segera dibaiki demi memudahkan pergerakan penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan di sini, selepas lawatan beliau ke Kg Sarang, pada Sabtu.

Beliau memberikan jaminan bahawa perkara berkenaan akan mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dengan segera.

"Saya amat yakin Kerajaan Negeri akan bertindak secepatnya, Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah juga pasti akan bertindak segera menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Katanya, kerajaan kini juga akan melakukan segalanya yang termampu demi memastikan apa sahaja kerosakan infrastruktur seperti jalan di Kg Sarang yang rosak akibat banjir ini diperbaiki segera.

  • oleh
  • Advertisement