Anda di sini

TSCP Maritim bantu kekang aktiviti jenayah di perairan negara

Advertisement
 Kapal KM Pintar yang dijadikan TSCP di perairan negara.
ASET TSCP : Kapal KM Pintar yang dijadikan TSCP di perairan negara.

TAWAU: Kapal KM Pintar yang diletakkan di perairan daerah ini bertindak sebagai pusat pemeriksaan sementara atau temporary sea check point (TSCP) dalam membantu mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dan menghalang sebarang aktiviti penyeludupan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata TSCP yang beroperasi 24 jam itu diaktifkan sejak April tahun lalu bagi mengukuhkan lagi pemantauan setiap pergerakan pengguna maritim.

"Semua bot atau kapal yang keluar masuk diwajibkan untuk melaporkan status pergerakan mereka di TSCP sebelum meneruskan perjalanan seterusnya.

 Siva menerangkan tips keselamatan bot kepada juragan bot penumpang.
RISALAH : Siva menerangkan tips keselamatan bot kepada juragan bot penumpang.

"Anggota yang bertugas akan melakukan pemeriksaan terperinci terhadap bot dan kapal selain setiap individu termasuk juragan perlu mengemukan dokumen yang berkaitan,"katanya selepas melakukan tinjauan di perairan, di sini.

Menurutnya, peletakan aset ini sebagai TSCP selari dengan pelaksanaan Op Cegah Pati (OCP) yang sedang dilaksanakan bersama pasukan keselamatan yang lain.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan, pasukan Maritim merekodkan 15 kali pengusiran bot yang dikesan mencurigakan selain cuba membawa masuk pendatang haram,"katanya.

"Selain TSCP, Maritim turut menggerakkan dua aset bot bagi rondaan keselamatan dari sempadan Semporna sehingga Burs Point sempadan Indonesia yang meliputi kawasan seluas 446.1 batu nautika persegi,"katanya.

Siva menjelaskan dengan pelbagai operasi yang dijalankan pihak Maritim, banyak kejayaan yang telah dilakarkan termasuk kes-kes berprofail tinggi dapat ditumpaskan.

"Antaranya, tangkapan dadah jenis syabu seberat 17 kilogram bernilai RM2.5 juta di perairan Batu Payung serta rampasan 1160 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM179,000 di perairan Kampung Titingan, di sini.

"Sementara itu, Maritim juga merekodkan 32 tangkapan melibatkan 84 individu yang ditahan terdiri daripada 28 warga tempatan, 24 Indonesia serta 32 Filipina atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM3 juta bagi tempoh tahun lalu,"katanya.

Beliau menjelaskan pelbagai cabaran terpaksa dihadapi pihaknya dalam menggagalkan jenayah rentas sempadan termasuklah banyak laluan tikus digunakan penjenayah dan sentiasa berubah, di samping modus operandi penjenayah bergerak pada waktu malam dengan lampu bertutup.

"Dalam tugasan OCP ini aset Maritim dibantu oleh radar daripada Angkatan Tentera Malaysia melalui Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) yang banyak menyalurkan info mengenai pergerakan bot mencurigakan.

 Bot penumpang yang melalui TSCP perlu diperiksa sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.
PERIKSA : Bot penumpang yang melalui TSCP perlu diperiksa sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

"Namun adakalanya bot-bot penjenayah yang terlalu laju dan mudah memasuki kawasan cetek menyukarkan untuk pasukan kita memintas serta memberkas mereka,"katanya.

Dalam pada itu, katanya, sejak penguatkuasaan PKP di daerah ini, pasukan Maritim turut melaksanakan 'Preventive SAR' dengan membuat hebahan di laut terutamanya di kawasan penempatan penduduk di persisir pantai.

"Semua penduduk dan komuniti maritim sentiasa diberi peringatan tentang keselamatan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan bagi membendung penularan wabak COVID-19,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement