Anda di sini

Jalan runtuh jejas 10 rumah panjang

Advertisement
 Jalan Melekun-Mujong, Kapit runtuh awal pagi semalam.
TERPUTUS: Jalan Melekun-Mujong, Kapit runtuh awal pagi semalam.

KAPIT: Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil langkah awal menutup laluan Jalan Melekun-Mujong, kira-kira 16 kilometer dari bandar Kapit susulan kejadian jalan runtuh dilaporkan jam 5.30 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Erwandy Tugor berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada tanah mendap susulan hujan lebat sepanjang malam.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan laluan tersebut berbahaya digunakan dan langkah mengepung kawasan mendapan dilakukan bagi keselamatan pengguna.

“Ketika ini, kita menunggu jentera untuk membantu membuat lencongan ke Mujong dan bandar Kapit.

“Lebih 10 rumah panjang di sepanjang laluan itu terjejas akibat insiden terbabit,” katanya dihubungi di sini semalam.

Menurut Erwandy, beberapa kawasan rendah di bandar itu turut dinaiki air banjir.

Antaranya jalan masuk menuju ke Rumah John Ramba dinaiki air sedalam 0.3 meter sehingga 0.5 meter dengan trend air masih menaik.

Selain itu, masing-masing sebuah rumah di Kampung Muhibbah dan Kampung Baru turut dinaiki air banjir 0 hingga dua meter hingga satu meter.

Dalam kejadian berasingan, beberapa kawasan rendah di daerah Kanowit turut dinaiki air banjir ekoran hujan lebat sepanjang malam.

Ketua Balai dan Penyelamat Kanowit Arrahman Chik berkata sepanjang pemantauan didapati situasi banjir berada keadaan terkawal.

“Antara kawasan dinaiki air banjir ialah Jalan Angkong dinaiki air sedalam 0.5 meter dan Jalan Rantau Kemiding dinaiki air sedalam satu meter dan masih boleh dilalui semua kenderaan.

“Bagaimanapun, agak berbahaya bagi kenderaan ringan di Jalan Lukut/Penyulau dilimpahi air banjir berkedalaman 3.0 meter,” jelas beliau.

Katanya, sepanjang rondaan didapati keadaan air naik perlahan-lahan serta cuaca berkeadaan mendung.

Advertisement