Anda di sini

Tiada individu diuji vaksin di Belaga

Advertisement
Latihan membawa 'vaksin' Pfizer ke Klinik Kesihatan Belaga, baru-baru ini.
Latihan membawa 'vaksin' Pfizer ke Klinik Kesihatan Belaga, baru-baru ini.


KUCHING: Tiada ujian dilakukan ke atas mana-mana individu semasa aktiviti 'dry run' penghantaran vaksin COVID-19 ke Klinik Kesihatan (KK) Belaga pada 29 Januari, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Menurutnya juga, semasa aktiviti itu hanya botol berisi larutan saline digunakan sebelum situasi penerimaan serta penghantaran vaksin COVID-19 keluaran Pfizer yang sebenar.

"Aktiviti Dry Run Penghantaran Vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer Sdn. Bhd ke Klinik Kesihatan Belaga tersebut merupakan satu aktiviti yang sangat penting sebagai permulaan sebelum vaksin COVID-19 sebenar diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan di Pusat-pusat Vaksinasi seluruh Malaysia," jelasnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dr Chin berkata menerusi aktiviti dry run tersebut, Thermal Shipping Container yang digunakan untuk penyimpanan vaksin, serta mengandungi dry ice dan dilengkapi  thermal logger telah diterbangkan daripada negara pengeluar Belgium melalui penerbangan komersial ke Subang sebelum diterbangkan ke Kuching dan dihantar melalui jalan darat ke Bintulu dan seterusnya KK Belaga.  

Menurutnya didapati juga Thermal Shipping Container yang dihantar oleh pihak Pfizer telah berjaya mengekalkan suhu simpanan produk antara -90°C hingga -60°C sepanjang perjalanan tersebut.

"Aktiviti Dry Run penghantaran vaksin COVID-19 ini merupakan satu aktiviti yang sangat penting sebagai permulaan sebelum vaksin COVID-19 sebenar diterima oleh pihak KKM untuk digunakan di Pusat-pusat Vaksinasi seluruh Malaysia.

"Vaksin keluaran syarikat Pfizer ini memerlukan penyimpanan pada suhu ultra sejuk, -75°C (+/-15°C) yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin tersebut," katanya.

Susulan itu jelasnya, aktiviti dry run tersebut diadakan semata-mata bagi melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra sejuk -75°c (±15°c) vaksin keluaran Pfizer  terjamin sepanjang tempoh penghantaran dari pengilang ke destinasi luar bandar.  

Selain itu tambahnya, ia juga membantu KKM membuat penilaian kebolehlaksanaan proses-proses terlibat dalam pengendalian vaksin COVID-19 di seluruh Malaysia selain sebagai satu simulasi terhadap Panduan Pengendalian Vaksin COVID-19 yang telah dibangunkan oleh pihak KKM.

"Melalui kejayaan pelaksanaan aktiviti dry run ini, KKM berharap ia dapat membantu semua pihak merancang langkah-langkah terbaik agar dapat menjamin pembekalan vaksin COVID-19 sebenar nanti secara berkualiti, selamat dan berkesan kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar," katanya.

  • oleh
  • Advertisement