Anda di sini

Bersama kekang penularan pandemik COVID-19: Dennis

Advertisement
DENNIS
DENNIS

MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau menggesa orang ramai yang telah mengunjungi tempat-tempat kes positif COVID-19 dilaporkan agar mengambil langkah yang diperlukan untuk keselamatan diri serta masyarakat sekeliling.

Jelasnya, antara langkah yang perlu diambil segera ialah menjalani ujian saringan COVID-19 dan melakukan kuarantin kendiri.

“Ambil langkah sepatutnya seperti melakukan ujian calitan dan mengasingkan diri dalam tempoh yang ditetapkan.

“Jangan tunggu untuk dipanggil oleh pihak berkuasa,” jelasnya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurutnya, penularan COVID-19 berlaku dengan cepat berikutan terdapat beberapa pihak yang mengetahui bahawa mereka telah ke lokasi kes-kes positif dilaporkan tetapi tidak mengambil langkah yang telah digariskan pihak berkuasa.

“Ada antara mereka yang telah mengunjungi lokasi kes positif tetapi tidak mengendahkan atau bersikap ‘tidak apa’ kerana menganggap ia bukan perkara serius.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Saya pernah diberitahu dan berkongsi pengalaman seorang bekas pesakit COVID-19.

“Beliau menceritakan apa yang dilalui ketika menjalani rawatan dan tidak mahu lagi melalui pengalaman yang sama untuk kali kedua.

“Jadi mengapa ada dalam kalangan kita tidak memandang serius wabak COVID-19 ini?” soal Dennis.

Katanya, setiap orang memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa untuk bertindak sebaliknya memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Dalam pada itu, Dennis turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengadakan sebarang perjumpaan tidak kira dalam skala kecil sekalipun.

Beliau turut menggesa mana-mana pasangan yang merancang mengadakan majlis pertunangan atau perkahwinan pada awal tahun ini agar menangguhkan terlebih dahulu demi keselamatan dan kesihatan diri dan orang awam.

“Sekiranya mereka tidak dapat menangguhkan dan perlu dilakukan, maka lakukan secara tertutup dan dihadiri keluarga sendiri sahaja.

“Apabila keadaan sudah reda dan dibenarkan untuk mengadakan majlis, masa itulah kita rancang lagi.

“Buat masa ini, kita amalkan norma baharu dan beri kerjasama untuk keselamatan kita bersama,” tegasnya.

Sementara itu, bagi guru, kakitangan serta ahli keluarga yang perlu kembali ke sekolah yang dibuka semula terutama di kawasan Telang Usan dan Ulu Baram, Dennis menggesa agar memastikan mereka bebas daripada COVID-19 sebelum melaporkan diri bertugas di tempat masing-masing.

“Dalam situasi yang kita lalui sekarang, perkara ini turut termaktub kepada guru-guru warga Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Sabah serta yang lain.

“Malah, nasihat saya kepada mereka yang melakukan perjalanan dari Lawas dan Limbang ke bandar raya Miri serta mereka yang mahu ke dua bahagian berkenaan melalui Long Lama, diharapkan membatalkan rancangan berkenaan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak,” katanya.

Tambah Dennis, sekatan jalan di bandar Long Lama telah dilaksanakan dan mereka yang tidak mempunyai permit polis akan diarahkan berpatah balik.

“Ini pasti akan menimbulkan kesukaran kepada anda.

“Oleh itu, minta permit kebenaran terlebih dahulu sekiranya anda betul-betul perlu merentas daerah atau bahagian.

“Harus diingatkan, usaha sebegini adalah untuk mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement