Anda di sini

Polis tahan enam suspek kes sabung ayam

Advertisement
 Lokasi yang diserbu polis dipercayai tempat aktiviti perjudian sabung ayam dijalankan.
SABUNG AYAM: Lokasi yang diserbu polis dipercayai tempat aktiviti perjudian sabung ayam dijalankan.

KENINGAU: Polis memberkas enam individu di Kampung Ulu Kikiran Jalan Apin-Apin dekat sini selepas didapati terlibat dengan aktiviti sabung ayam.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 37 hingga 64 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Menurutnya, aktiviti perjudian itu membabitkan sebanyak 18 ekor ayam jantan hidup yang turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu wang tunai dipercayai hasil pertaruhan sebanyak RM4,457 dan peralatan seperti jam pemasa serta papan tulis yang digunakan untuk aktiviti perjudian berkenaan.

"Siasatan mendapati aktiviti perjudian ini dikenali sebagai sabung ayam 'karate' dengan melagakan ayam tanpa menggunakan senjata.

"Serbuan dibuat berdasarkan maklumat risikan melibatkan seorang pegawai bersama enam anggota dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau," katanya di sini.

Beliau berkata, siasatan dan tindakan selanjutnya dijalankan mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan dan tindakan tegas akan dikenakakan selaras dengan bidang kuasa polis dalam usaha menangani penyebaran pandemik COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement