Anda di sini

Penganggur didenda kerana ugut bunuh kakak, rosakkan barang di rumah 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur didenda RM4,500 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah terhadap kakaknya serta merosakkan barang-barang di rumah. 

Majistret Zaiton Anuar juga mengarahkan tertuduh, Mohd Ashraf Mohd Yusof, 27, untuk dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, lelaki tersebut didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut bunuh kakaknya yang berusia 34 tahun menggunakan sebilah pisau.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan kerusi plastik, memecahkan pinggan dan merosakkan tudung saji kepunyaan kakaknya sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM50. 

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya pada 21 Januari lalu, jam 8.30 pagi di kediaman mereka di Tabuan Park, dekat sini. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengamuk dengan mengambil pisau dan mengacukan ke arah mangsa sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa, selain melakukan khianat dengan merosakkan harta benda milik mangsa. 

Mangsa dan keluarganya tidak mengetahui punca tertuduh bertindak demikian.

Mahkamah menetapkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didenda RM3,000 atau tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar bagi pertuduhan pertama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didenda RM1,500 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang. 

  • oleh
  • Advertisement