Anda di sini

TUDM terbangkan dua bayi dari Sabah untuk jalani pembedahan jantung

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan dua bayi dari Kota Kinabalu, Sabah yang akan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara di sini.

Menurut kenyataan TUDM hari ini, kedua-dua bayi itu, Mohammad Zayan Hafeez Abdullah, tiga bulan dan Muhammad Zul Aris Muhammad Zainulariffin, sebulan, diterbangkan ke ibu negara semalam.

“Turut mengiringi bayi dalam penerbangan itu ialah ibu bayi berkenaan bersama-sama seorang pegawai perubatan dan dua jururawat. Pesawat berlepas dari Kota Kinabalu pada 7.04 malam dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada 9.41 malam,” demikian menurut kenyataan itu.

Penerbangan ihsan itu yang menggunakan pesawat angkut A400M, dikendalikan oleh juruterbang Lt Kol Nazlan Shah Zainal dan pembantu juruterbang Kapt Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor.

Mereka dibantu dua ‘loadmaster’ iaitu FSjn U Norfadley Saad dan Sjn U Nazmil Hafis Mohamad Nayan bersama dua juruteknik, Kpl U Mohd Yazid Sapeei dan Kpl U Muhammad Haziq Shaharuzaman.

“Seluruh warga TUDM mendoakan supaya kedua-dua bayi berkenaan dapat menerima rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan.”

Berdasarkan kenyataan itu, Mohammad Zayan Hafeez mengalami  ‘Mixed Total Anomalous Pulmonary Venous Drainage (Unobstructed)’, manakala Muhammad Zul Aris menghadapi masalah sindrom Down dan pernah menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu. - Bernama 

Advertisement