Anda di sini

Stones beraksi cemerlang ‘berhak mendapatkan yang terbaik’

Advertisement
 John Stones (kiri) bersaing dengan pemain tengah Brighton Leandro Trossard  pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester City dan Brighton and Hove Albion di Stadium Etihad di Manchester, England, baru-baru ini. — Gambar AFP
SENGIT: John Stones (kiri) bersaing dengan pemain tengah Brighton Leandro Trossard pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester City dan Brighton and Hove Albion di Stadium Etihad di Manchester, England, baru-baru ini. — Gambar AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola berkata pemain pertahanan England John Stones ‘berhak mendapatkan yang terbaik’ selepas dia menjaringkan dua gol buat Manchester City untuk menggariskan prestasi cemerlangnya bagi pemburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

City menewaskan Crystal Palace 4-0 pada Ahad lepas untuk naik ke tempat kedua dalam carta liga, dua mata di belakang Manchester United dengan kelebihan satu perlawanan lagi dalam tangan.

Namun gandingan Stones dengan pemain antarabangsa Portugal Ruben Dias di pusat pertahanan ternyata memainkan peranan yang amat penting dalam kebangkitan City selepas permulaan musim yang perlahan.

Dalam 10 perlawanan yang dimulainya dan Dias pada musim ini, City telah memenangi sembilan dan melepaskan hanya satu gol sahaja.

Ia ternyata perubahan nasib yang dramatik bagi pemain berusia 26 tahun itu, yang memulaka kempen di tempat keempat dalam urutan pemain di belakang Dias, Aymeric Laporte dan Nathan Ake.

“Jika ada seseorang yang berhak mendapatkan yang terbaik, ia adalah John,” kata Guardiola. “Dia banyak bergelut tetapi dia adalah seorang manusia yang amat baik. Ibu bapanya pasti begitu bangga.

“Dia ada masalah peribadi pada masa lalu, kecederaan. Buat masa sekarang dia sudah bersedia dengan baik dan dia sudah mula bermain.”

Pengurus City, yang menyaksikan pasukannya memenangi lima perlawanan berturut-turut dalam EPL, memuji Stones kerana mengubah nasibnya sendiri.

“Keyakinan adalah segalanya,” katanya. “Dia mendapat keyakinan untuk dirinya sendiri. Sebagai pengurus, kami tidak dapat memberikan keyakinan.

“Dia mula bermain di sisi Ruben dan mereka telah bermain dengan amat baik.” — AFP

Advertisement