Anda di sini

Milan benam Cagliari, pintas musuh Inter

Advertisement
 Ibrahimovic (tengah, kiri) menanduk bola pada perlawanan Serie A Itali di antara Cagliari menentang AC Milan di Sardegna Arena, Cagliari, kelmarin. — Gambar AFP
RANCAK: Ibrahimovic (tengah, kiri) menanduk bola pada perlawanan Serie A Itali di antara Cagliari menentang AC Milan di Sardegna Arena, Cagliari, kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertamanya sejak dua bulan lalu apabila AC Milan menewaskan Cagliari 2-0 kelmarin untuk meletakkan pasukannya di depan musuh tetangga Inter di tempat teratas carta Serie A.

Ibrahimovic, 39, menjaringkan gol pertama menerusi tendangan penalti selepas tujuh minit, dan menambah jaringan kedua sejurus selepas waktu rehat di Sardinia.

Milan, yang menyasari kejuaraan liga pertama mereka sejak 2011 ketika Ibrahimovic kali terakhir bermain dalam pasukan itu, berada tiga mata di depan Inter yang menewaskan juara Juventus 2-0 di San Siro pada Ahad lepas.

“Kemenangan ini adalah tanda terutama sekali bagi diri kami lebih daripada Inter,” kata jurulatih Stefano Pioli.

“Semua kita mahu membawa Milan balik ke tempat teratas. Pasukan ini akan melakukan segalanya dari sini hingga akhir.

“Sekarang kami ada perlawanan penting menentang Atalanta (Sabtu), kami fokus kepadanya, kemudian pada Mac dan April, kita akan lihat di mana kami berada.”

Ibrahimovic membuktikan dia sudah kembali ke tahap terbaiknya selepas kecederaan, dan kelabnya bakal menandatangani bekas penyerang Juventus dan Bayern Munich, Mario Mandzukic, untuk menguatkan lagi usaha mereka memenangi kejuaraan.

“Ibra akan bertanggungjawab untuk menjauhkannya (Mandzukic),” kata Pioli sambil bergurau.

Pemain dari Sweden itu menambah jumlah jaringannya kepada 12 gol dalam lapan perlawanan dengan lima jaringan berganda, termasuk dua gol pada 22 November lalu ketika menentang Napoli, di mana dia mengalam kecederaan paha yang mengetepikannya.

Milan menepis ketiadaan pemain pertahanan Theo Hernandez dan pemain tengah Hakan Calhanoglu yang didapati positif bagi koronavirus.

Pasukan pelawat dengan cepat menguasai permainan selepas pemain pertahanan Cagliari, Charalampos Lykogiannis, mengasari Ibrahimovic.

Ibrahimovic memutuskan untuk melakukan tendangan yang biasanya diambil oleh penendang penalti tetap Franck Kessie selepas pemain dari Sweden itu gagal untuk menyempurnakan tendangan dua kali sebelum dia mengalami kecederaan.

Penjaga gol Cagliari Alessio Cragno mengeluarkan cubaan jarak jauh Davide Calabria selepas 24 minit dan pemain pertahanan Itali itu melakukan satu lagi cubaan yang terkena tiang gol 10 minit kemudian.

Selepas waktu rehat, Ibrahimovic menyambut cubaan jarak jauh Calabria untuk menjaringkan gol yang disahkan selepas semakan VAR.

Milan mempertahankan kelebihan mereka walaupun bermain suku akhir tanpa seorang pemain selepas Alexis Saelemaekers dibuang dari padang setelah menerima dua kad kuning, 10 minit selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian.

Cagliari, di atas zon relegasi di tempat ke-17, mengalami kekalahan kelima berturut-turut dalam siri tanpa kemenangan bagi 11 perlawanan berturut-turut bermula pada 7 November lalu.

Milan seterusnya akan menentang Atalanta yang menduduki tempat keenam untuk meneruskan usaha mereka memenangi ‘Scudetto’ ke-19 dan kembali bermain bola sepak dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2013-2014. — AFP

Advertisement