Anda di sini

Maguire puji kemajuan United, namun perlu dipertingkatkan

Advertisement
MAGUIRE
MAGUIRE

MANCHESTER: Kapten Manchester United (MU) Harry Maguire memuji kemajuan besar yang telah dicapai oleh pasukan Red Devils selama 18 bulan dia berada di kelab itu tetapi berkata usaha masih perlu dipertingkatkan lagi untuk memenangi piala penting.

MU melanjutkan siri tanpa kalah mereka dalam liga kepada 12 perlawanan dan rekod tanpa kalah mereka di tempat lawan kepada 16 dengan keputusan seri tanpa jaringan di Liverpool pada Ahad lepas untuk kekal di tempat teratas Liga Perdana Inggeris.

Sebanyak 33 mata memisahkan kedua-dua pasukan pada musim lepas apabila Liverpool memenangi kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun.

Bagaimanapun pertarungan yang jauh lebih sengit dijangkakan pada musim ini, dengan hanya lima mata sahaja yang memisahkan enam pasukan teratas.

“Anda dapat lihat sejauh mana kami sudah meningkat sejak saya berada di sini,” kata Maguire, yang menyertai kelab itu dengan bayaran rekod dunia bagi seorang pemain pertahanan dari Leicester pada Ogos 2019.

“Sebagai sebuah pasukan kami sedang meningkat naik tetapi kami perlu membuat banyak penambahbaikan, dan membuat banyak lagi kemajuan untuk sampai ke posisi yang kami inginkan.

“Kami mahu memenangi perlawanan tetapi kami meneruskan momnentum untuk tidak kalah, terutamanya di stadium lawan.”

Kekalahan domestik terakhir MU di tempat lawan berlaku di Anfield setahun lalu, apabila mereka dengan selesa ditewaskan 2-0.

Ole Gunnar Solskjaer mengakui pasukannya tidak bermain pada tahap terbaik Ahad lepas, tetapi mereka menunjukkan kematangan untuk menangkis asakan Liverpool dan nyaris memenangi perlawanan pada hujung perlawanan, tetapi Alisson Becker menafikan Bruno Fernandes dan Paul Pogba.

“Kali terakhir kami bermain di sini, kami tidak ada keyakinan ataupun momentum,” kata Maguire. “Pada separuh masa pertama, kami rasa kami tidak bermain dengan baik, kami rasa kami sepatutnya lebih berani dan menyakitkan mereka sedikit.

“Kami tidak bermain dengan kepercayaan atau keberanian dan saya rasa kami bermain dengan jauh lebih bagus pada separuh masa kedua.

“Kami semakin bertambah baik tetapi kami masih perlu bermain lebih baik bila bersama bola atau tanpa bola.”

Solskjaer merasakan langkah seterusnya bagi pasukannya adalah untuk mula menewaskan seteru utama mereka.

Walaupun menduduki tempat teratas, MU sebelum ini gagal untuk memenangi perlawanan menentang Liverpool, Chelsea, Arsenal, City dan Tottenham pada musim ini.

“Saya rasa ia kelihatan sepanjang perlawanan bahawa kepercayaan semakin meningkat,” kata pengurus itu.

“Lain kali kami menentang mereka di sini, atau selepas pengalaman ini, kami perlu menguasai perlawanan.

“Tidak mengambil beberapa risiko lagi tetapi kami dapat bermain dengan lebih baik dan itu adalah perasaan yang bagus untuk dimiliki bahawa saya tahu kami dapat bermain dengan lebih baik - terus berusaha untuk melakukan perkara yang betul walaupun kita mungkin membuat kesilapan dari semasa ke semasa.” — AFP

Advertisement