Anda di sini

Pejabat Daerah Kecil Paitan diminta sedia laporan kerosakan infrastruktur akibat banjir

Advertisement
 Samad (dua, kanan) bersama Joloning ketika melawat PPS Dewan Kampung Kobambangan, Paitan.
LAWAT: Samad (dua, kanan) bersama Joloning ketika melawat PPS Dewan Kampung Kobambangan, Paitan.

PAITAN: Pejabat Daerah Kecil Paitan diminta menyediakan laporan berhubung kerosakan infrastruktur di beberapa buah kampung akibat bencana banjir yang berlaku sejak awal minggu lepas.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Samad Jambri berkata, perincian laporan perlu dimajukan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sebelum dibentangkan pada peringkat KPLB Persekutuan.

Katanya, ia bagi membolehkan kementerian membuat anggaran kos pembaikan sekaligus disalurkan kepada agensi yang bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

Antara infrastruktur dikenalpasti rosak seperti jambatan gantung di Kampung Sulit selain Jalan Pinampadan dan Jalan Sokoon yang terputus akibat bencana banjir tersebut.

"Semua perincian infrastruktur ini akan disediakan oleh pejabat daerah. Selain infrastruktur, perincian juga akan termasuk rumah-rumah orang kampung yang terjejas semasa banjir ini.

"Kalau kita lihat ketika ini jambatan gantung di Kampung Sulit telah roboh akibat bencana banjir ini dan ia merupakan antara keperluan utama penduduk untuk menyeberang sungai sama ada ke Pekan Paitan mahupun bagi mengeluarkan hasil tanaman mereka," katanya ketika meninjau kerosakan jambatan gantung di kampung itu.

Hadir sama pada lawatan itu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Paitan, Joloning Joe Majambu dan Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Malaysia, Iswan Haji Sonteng.

Terdahulu, beliau juga melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Kobambangan, Paitan bagi meninjau perkembangan terkini mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Dalam pada itu, Pejabat Daerah Kecil Paitan telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan pihak konsesi pembaikan jalan untuk membaiki segera jalan perhubungan kampung yang mengalami kerosakan teruk akibat bencana banjir.

Pembaikan jalan perhubungan kampung perlu dilaksanakan segera berikutan ia menjadi laluan utama keluar masuk penduduk selain mengangkut hasil pertanian ke Pekan Paitan.

Bencana banjir di Paitan bukan sahaja menjejaskan 56 buah kampung malah semua jalan perhubungan kampung yang ditenggelami air tidak dapat diakses oleh semua jenis kenderaan.

Sementara itu, dua PPS telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir iaitu PPS Dewan Kampung Binsulung dan PPS Dewan Kampung Kobambangan, Paitan.

  • oleh
  • Advertisement