Anda di sini

Fokus selesaikan masalah rakyat perlu diutamakan

Advertisement
 Fairuz (kiri) ketika menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir.
BANTUAN: Fairuz (kiri) ketika menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir.

KUDAT: Fokus dalam menyelesaikan permasalahan rakyat perlu diutamakan pada waktu pandemik COVID-19 semakin meningkat serta bencana alam banjir dan tanah runtuh melanda negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan berkata, semua pihak bertanggungjawab perlu fokus dalam menyelesaikan semua permasalahan rakyat.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah itu berkata, usaha untuk membantu menyelesaikan masalah dan kesulitan rakyat adalah tugas utama kerajaan negeri.

Justeru katanya, tidak wajar isu negatif lain dibangkitkan yang boleh menggugat keharmonian dan keamanan seluruh negeri Sabah.

"Sebaiknya sekarang kita semua fokus selesaikan masalah rakyat dan membangunkan semula ekonomi negeri ini dari pelbagai sektor.

"Usah gigih dan taksub untuk mengejar nama tanpa menyelami kepayahan rakyat kita.

"Tidak perlu mencipta masalah baharu yang akan menggugat keamanan kita di Sabah kerana kita adalah rakyat yang bersatu dalam sebuah negeri yang harmoni, berbilang bangsa dan agama, menghormati serta prihatin antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian semasa program kunjungan dan misi agihan bantuan Armada BERSATU negeri Sabah bagi daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas di sini kelmarin.

Menurutnya, bencana alam yang menimpa rakyat sudah cukup membebankan dan menyusahkan terutamanya semasa penularan COVID-19 yang semakin meningkat.

"Mangsa-mangsa banjir di kawasan Kudat, Kota Marudu dan juga tanah runtuh di Pitas, sudah cukup menghadapi kepayahan, kediaman dimasuki air akibat banjir dan mereka terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Ditambah pula dengan wabak COVID-19 yang semakin bertambah kes dan menyebabkan Sabah kembali menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 Januari.

"Saya yakin kerajaan negeri yang ditadbir oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berusaha keras untuk menyelesaikan semua masalah ini dan sewajarnya kita terus positif tanpa perlu menjadi pencetus kepada masalah baharu atau menyulitkan urusan rakyat," katanya.

Fairuz berkata, pihak bertanggungjawab yang mengurus masalah bencana juga perlu menyediakan lebih banyak bantuan kecemasan dan aset lain-lain bagi membantu mangsa bencana alam.

Katanya, pihak berwajib yang mengendalikan masalah bencana alam perlu fokus untuk menyediakan lebih banyak aset dan bantuan kecemasan lain khususnya ketika banjir.

Beliau berkata, cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan di kawasan-kawasan tertentu mengundang kepada masalah banjir serta tanah runtuh.

Dalam pada itu, Fairuz bersama Armada BERSATU Sabah melawat ketiga-tiga daerah yang terjejas akibat bencana alam dan memberikan bantuan berupa barang keperluan asas.

Ia termasuklah pelitup muka, cecair pembersih tangan, susu formula bayi, lampin pakai buang, biskut, bekalan air minuman, serta bantuan wang tunai kepada mangsa yang terlibat.

  • oleh
  • Advertisement