Anda di sini

Agihan bantuan bakul makanan perlu dipercepatkan

Advertisement
PRITCHARD
PRITCHARD

PENAMPANG: Pengagihan bantuan bakul makanan kepada penduduk perlu dipercepatkan khususnya mereka yang terkesan di daerah ini.

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Penampang Pritchard Gumbaris berkata, ramai dalam kalangan penduduk mengadu masih belum menerima bantuan bakul makanan.

Katanya, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat di negeri ini, agihan bantuan bakul makanan sepatutnya dipercepatkan.

Menurutnya,  sebelum ini bantuan bakul makanan hanya diberikan kepada mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin di rumah dan pihak yang bertanggungjawab menasihatkan penduduk di kawasan terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk berhubung dengan pejabat daerah atau Jabatan Kebajikan jika memerlukan bantuan bakul makanan.

"Walaupun arahan sedemikian dibuat, namun masih ramai penduduk yang tidak menerima bakul makanan dan sebahagian daripada mereka tidak dapat datang ke pejabat daerah kerana masalah tiada kenderaan.

"Dengan pelaksanaan PKP dan proklamasi darurat, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu melipatgandakan usaha dan lebih proaktif dalam mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas dan bukan hanya kepada mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin," jelasnya dalam kenyataan di sini.

Pritchard berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah melantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ketua kampung. Justeru, inilah masanya untuk pemimpin akar umbi bertindak pantas bagi membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, tidak perlu mengarahkan penduduk terjejas mengambil sendiri bantuan di pejabat daerah kerana tindakan sedemikian akan meningkatkan pergerakan orang ramai dan memberi kesan kepada usaha kerajaan melandaikan lekuk COVID-19.

Dalam pada itu, Pritchard berpendapat JPKK dan ketua kampung tidak harus bersifat pilih kasih dalam mengagihkan bantuan kepada penerima berdasarkan latar belakang politik kerana jangkitan COVID-19 tidak menjangkiti seseorang berdasarkan pandangan politik mereka.

Pihaknya turut berharap peruntukan untuk bantuan bakul makanan kepada penduduk di Penampang akan ditambah bagi membantu lebih ramai penduduk yang terjejas akibat PKP.

  • oleh
  • Advertisement