Anda di sini

F1: Perlumbaan di Imola kini kembali

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 14 April 2019 menunjukkan sudut pandangan dari sisi penonton yang menyaksikan perlumbaan F1 China di Shanghai. — Gambar  AFP
MERIAH: Gambar fail bertarikh 14 April 2019 menunjukkan sudut pandangan dari sisi penonton yang menyaksikan perlumbaan F1 China di Shanghai. — Gambar AFP

PARIS: Formula Satu (F1) mengeluarkan jadual baharu musim 2021, dengan jadual perlumbaan pembuka tirai tahun ini di Australia, ditangguhkan ke bulan November dan satu perlumbaan di Imola akan menggantikan perlumbaan Grand Prix (GP) China.

Perubahan itu dibuat ekoran sekatan perjalanan dikuatkuasa oleh beberapa kerajaan kerana pandemik COVID-19.

Musim ini akan bermula di Bahrain pada 28 Mac dan akan berakhir seminggu lebih lama dari jadual asa, dengan perlumbaan terakhir di Abu Dhabi telah dijadualkan semula pada 12 Disember.

Ia mewujudkan satu ruang pada akhir musim untuk GP Australia dimasukkan pada tarikh baharu 21 November, di antara GP Brazil dan Arab Saudi.

Imola, yang menganjurkan perlumbaan F1 pada kalendar yang juga diubah semula tahun lepas, akan menjadi perlumbaan kedua tahun ini pada 18 April, dengan lokasi perlumbaan ketiga, pada 2 Mei, masih belum disahkan.

Portimao, yang menganjurkan GP Portugal pada 2020, dipercayai dalam pertimbangan selain perlumbaan kedua di Catalunya di luar Barcelona, yang akan menganjurkan GP Sepanyol pada 9 Mei.

F1 berkata perbincangan untuk penjadualan semula GP China masih “berjalan” dengan promoter perlumbaan tetapi ia masih tidak jelas di mana perlumbaan itu akan diletakkan dalam kalendar baharu.

Ketika ini, kalendar 2021 mengekalkan satu rekod 23 perlumbaan dan begitu padat pada akhir tahun dengan harapan sekatan perjalanan akan lebih longgar berbanding ketika ini dengan banyak negara menutup sempadan dan mewajibkan kuarantin untuk kemasukan dari luar negara.

“Ia merupakan tahun yang sibuk untuk F1 dan kami gembira untuk mengesahkan bahawa beberapa perlumbaan yang dirancang pada musim ini, tidak berubah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu F1, Stefano Domenicali.

“Pandemik COVID-19 masih belum membenarkan kehidupan kembali seperti normal tetapi kami menunjukkan pada 2020 bahawa kami boleh berlumba dengan selamat dan sebagai sukan antarabangsa pertama yang kembali beraksi dan kami mempunyai pengalaman dan perancangan untuk melaksanakan musim kami.

“Ia berita hebat kerana kami sudah bersetuju dengan tarikh penjadualan semula untuk GP Australia pada bulan November dan kami akan terus bekerja dengan rakan kami di China untuk mencari satu penyelesaian perlumbaan di sana pad 2021 jika ada sesuatu perubahan.

“Kami sangat teruja untuk mengumumkan bahawa Imola akan kembali untuk musim 2021 dan menyedari peminat tidak sabar untuk kembali menonton F1 selepas musim sejuk dan kami mengubah perlumbaan pembuka tirai musim ini di Bahrain.”

Ujian pramusim akan berlangsung di Bahrain selama dua minggu sebelum perlumbaan pembukaan, walaupun tarikh sebenar belum disahkan.

Persoalan masih timbul tentang dua perlumbaan jalan raya tahun ini, di Monaco dan Baku, yang memerlukan masa persediaan lebih banyak kerana jika mahu menganjurkannya tanpa penonton. — AFP

Advertisement