Anda di sini

Dua rumah hampir roboh akibat air pasang 

Advertisement
 Salah seorang penduduk menujukkan bahagian rumahnya yang rosak selepas dilanda fenomena air pasang besar di sini.
ROBOH: Salah seorang penduduk menujukkan bahagian rumahnya yang rosak selepas dilanda fenomena air pasang besar di sini.

KOTA KINABALU: Dua rumah hampir roboh, manakala beberapa lagi dimasuki air berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di perkampungan atas air di Tanjung Aru Baru, di sini.

Kejadian yang bermula kira-kira jam 8 malam itu juga menyebabkan 99 penduduk daripada 17 keluarga terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan ditempatkan di balai raya serta di surau kampung terbabit selain ada yang menumpang di rumah saudara mereka.

Seorang penduduk, Nabsah Darudin, 59, berkata rumahnya hampir roboh dan hanya sempat menyelamatkan dokumen penting buat masa ini dan risau kediamannya itu akan roboh pada bila-bila masa sekiranya ombak besar akibat fenoma itu terus berlaku.

''Ketika kejadian saya masih bekerja dan hanya dimaklumkan oleh anak saya menerusi panggilan telefon, apabila saya sampai keadaan rumah bertambah teruk dan hampir roboh.

''Rumah saya mulai dimasuki air dan mengalami kerosakan sejak Selasa tapi ianya bertambah teruk hari ini,'' katanya ketika ditemui di lokasi.

Difahamkan, kejadian fenomena air pasang besar itu mula berlaku sejak Sabtu lalu namun keadaannya lebih teruk malam tadi sehingga mengakibatkan kebanyakan penduduk di situ terpaksa berjaga sehingga subuh demi keselamatan masing-masing.

Sementara itu seorang lagi penduduk yang mengalami nasib sama Mohd Yusri Jamrin, 45 berkata ini adalah malam kedua rumahnya dimasuki air dan kali ini mencatatkan carta (air pasang) tertinggi iaitu 2.09 meter.

''Kejadian ini juga mengakibatkan sedikit kerosakan pada rumah saya kerana air memasuki kawasan ruang tamu serta bilik utama.

“Buat masa ini saya bersama keluarga tinggal di rumah saudara kerana risau dengan keselamatan kami,'' katanya.

Seorang lagi penduduk Bakar Adani, 71, berkata walaupun fenoma air pasang besar itu sudah beberapa kali berlaku di kampung berkenaan, namun kali ini ianya antara yang paling teruk sejak puluhan tahun lalu.

''Paling teruk ketika ribut Greg pada 1996 dan hari ini walaupun tidak seteruk pada waktu itu (1996) ia mengakibatkan beberapa rumah mengalami kerosakan.

''Buat masa ini kami sering berjaga sehingga air surut, kadang-kadang hingga subuh kerana risau dengan keselamatan kami,'' katanya.

Terdahulu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Bonnie Madisun ketika dihubungi berkata seramai tujuh anggota yang diketuai Safaruddin Rusline ditugaskan untuk memantau keadaan di kampung itu.

Beliau berkata, pihaknya juga menasihatkan penduduk kampung dengan rumah yang berisiko untuk dinaiki air agar berpindah buat sementara waktu di balai raya dan di surau kampung berkenaan.

Tedahulu, fenomena air pasang besar itu turut berlaku di beberapa kawasan lain termasuk di Tanjung Lipat di Likas berikutan keadaan ombak yang sampai sehingga ke kawasan Taman Awam.

  • oleh
  • Advertisement